05/04/2012

Cik Jah! Ni Ada Berita Sensasi Nak Habaq Mai!

[Kredit]


Assalamualaikum...

Baru-baru ini ana ada baca satu post yang asalnya daripada Syabab Musafir Kasih tentang 7 petala cinta. Ana baca kritikkan beliau dan juga komen-komen  daripada sahabat-sahabat yang lain. Berjela-jela komennya. Tak larat ana nak baca semuanya.

Insya-Allah ana tidak mahu sentuh pasal 7 petala cinta ini kerana Hilal Asyraf take over. Ana lihat di wall facebook, dia sudah publish cerpen 7 Petala Cinta versi Hilal Asyraf. Boleh tekan di link di sini. http://langitilahi.com/8034 [ Cerpen yang sangat-sangat menarik bagi ana.]

Apa yang ingin ana tekankan sekarang ialah cara kita bercakap tentang seseorang. Dalam komen 7 Petala Cinta tu, ana lihat banyak komen-komen yang sedap dibaca dan ada pula yang sebaliknya.

Manusia ini kadang dia menulis atau bercakap ikut rasa dirinya betul. Tidak ditemani dengan sense rasional, perasaan orang lain dan iman.

" Dia tu, kuat pemarah hang tau tak?"
" Ya ka?...patut la muka dia macam muka orang nak marah je.. "

Kita berbicara seperti tidak rasa apa yang salah. Padahal bila saudara kita dengar, dia rasa rendah diri dan malu bila orang lain tahu tentang dirinya sebenar. Seperti apa yang berlaku kepada Bilal dan Abu Zar.

Abu Zar memanggil Bilal dengan panggilan wahai anak hitam. Kalau ikut logik akal memang benar Bilal berkulit hitam. Tetapi Abu Zar tidak menyedari dia telah menyakiti hati Bilal. Bilal pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Bila Rasulullah SAW tahu beliau marah kepada Abu Zar. Abu Zar pergi kepada Bilal. Dia memohon maaf dan meminta Bilal memijak mukanya dengan kaki Bilal.

Kita tidak berhak mengatakan sesuatu yang benar tetapi tidak disukai oleh saudara kita. Sayyidatina Aisyah pernah berkata kepada Nabi tentang tubuh badan seorang perempuan iaitu Ummul Mukminin Shafiyah. Rasulullah SAW tidak suka apa yang diperkatakan oleh Saiditina Aisyah. Beliau menegur Sayyidatina Aisyah.

" Saya tidak suka mengambarkan sifat seseorang sedangkan dalam diriku ada sesuatu."

Seperti contoh yang ana beri tadi yang mengatakan saudaranya seorang kuat pemarah. Padahal dalam dirinya juga mempunyai sifat tersebut. Mungkin lebih teruk lagi daripada saudaranya.

" Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?" Sahabat menjawab," Allah dan Rasul-Nya  yang lebih tahu." Ujar Rasulullah SAW:" Mengumpat ialah engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya." Lalu ditanyakan," Bagaimana ada sesuatu yang patut saya kata tentang saudara saya itu?" Jawab Rasulullah SAW:" Sekiranya apa yang engkau sebutkan tentang saudaramu itu betul-betul ada padanya, maka itu bermakna engkau telah mengumpatnya tetapi jika tidak betul maka itu bererti engkau telah mengadakan-adakan kebohongan terhadapnya."

Mula-mula ana fikir, tidak mengapa kot. Nanti ana boleh minta keampunan daripada Allah SWT. Namun semua itu berubah apabila ana mengetahui bahawa Riba' itu ada 72 pintu, yang paling kecil dosanya ialah melakukan hubungan jenis dengan ibu sendiri dan sebesar-besar riba' ialah seorang itu menghakis nama baik saudaranya. Ini terdapat dalam hadith riwayat Al-Tabrani.

Ana sangat terkejut mendengar hadith ini. Ana rasa hubungan jenis dengan ibu lebih teruk lagi dan tidak dapat digambarkan.

Tetapi kenapa mengumpat lebih teruk daripada zina?

Kerana zina itu kita boleh memohon keampunan direct daripada Allah SWT dan bertaubat. Tetapi mengumpat tidak akan diampun oleh Allah sehingga orang yang diumpat itu memaafkan kesalahan orang yang mengumpat tersebut.

Ya Allah. Serius ana rasa takut sangat.

Apabila saudara kita memaafkan kesalahan kita, barulah Allah mengampuni dosa kita. Tahukah kenapa Allah berbuat yang sedemikian?

Kerana Allah mahu kita bina kembali tali persaudaraan yang telah kotori. Dia mahu kita bersatu. Inilah sifat Allah. Dia tidak suka melihat perpecahan antara manusia. Dia mahu kita bersatu dan tinggal dalam keadaan yang harmoni.

Cuba kita lihat contoh dalam filem 'Mami Jarum'. Pergaduhan berlaku antara jiran tetangga even dalam family sendiri. Semuanya berlaku kerana hasil dari umpatan. Ana lihat tiada kebahagiaan dalam jiran tetangga. Sebaliknya semua menjaja cerita-cerita jiran tetangga masing-masing.

Lihatlah sendiri bagaimana peribadi Rasulullah SAW. Dia tahu yang Abdullah bin Ubai bin Salul merupakan orang munafik. Adakah Rasulullah pergi sebarkan kepada para sahabat bahawa Si Ubai ini orang munafik?

Tidak! Rasulullah tidak pernah menyebut mahupun menyebarkannya. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW hanya tahu sifat Ubai ini hasil daripada perbuatannya bukan daripada mulut Rasulullah SAW. Kalaulah Rasulullah SAW beritahu kepada sahabat maka porak perandalah keadaan Madinah.

Manusia ini kadang-kadang terlepas pandang perkara kecil begini. Lihat saja cerita sensasi di TV3. Ana tidak tahu sama ada masih ada atau sudah ditamatkan. Mencanangkan peribadi-peribadi artis di khalayak masyarakat. Bila lihat,  kita jaja pula di dalam kelas.

Sedikit pun kita tidak ambil kisah akan perasaan artis tersebut. Sepatutnya kita pertahankan dia seperti apa yang Rasulullah SAW lakukan apabila Sayyidatina Aisyah menceritakan bentuk badan Ummul Mukminin Shafiyah.

Kalau benar sayangkan saudara kita katakanlah sayang. Jangan sesekali menghebahkan keaibannya. Kita ini apa pula? Kita bukan manusia sempurna tetapi masih ada hati mengatakan peribadi saudara kita.

Mintalah kemaafan daripada saudara kita sekiranya kita berbuat demikian. Mulalah sayangi saudara kita kerana Allah sukakan perbuatan ini. Tambah-tambah kita sayang dia kerana Allah.

Insya-Allah jika kita sayang dia kerana Allah, mulut ini terjaga daripada menyebut sesuatu yang buruk.

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik ra, pelayan Rasulullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda," Seorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." [ HR Bukhari dan Muslim]



No comments

Post a Comment