17/07/2014

Beri Peluang Berfikir


Setiap kali saya mengeluh apabila menyemak kertas jawapan para pelajar. Bukan sekali, tetapi banyak kali untuk kertas soalan yang sama. Kekadang saya berfikir, kenapa mereka tidak boleh menjawab soalan kuiz yang mudah ini? Padahal mereka pernah menyelesaikan soalan yang sama seperti yang ada di dalam buku tutorial mereka.

Sampailah ke satu tahap, saya bandingkan diri saya dengan pelajar saya sendiri,

" Aku faham tajuk ini dengan mudah. Kenapa mereka tidak boleh?"

Ya Allah, sejak itu saya mula rasakan saya sudah melakukan kesilapan. Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan mereka. Dahulu, saya juga menghadapi masalah yang sama seperti mereka iaitu sukar untuk memahami Fizik. 

Seingat saya, waktu saya di Tingkatan 4 dan 5, boleh dikatakan saya tidak suka dengan subjek Fizik kerana sukar untuk difahami dan dibayangkan. Langkah yang terbaik yang saya ambil pada masa itu ialah menjawab kertas soalan-soalan tahun sebelumnya sambil berbincang di dalam kumpulan saya.

Selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah Matrikulasi dan ditawarkan aliran Sains Fizikal. Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak suka dengan subjek Fizik. Maka saya cuba cari jalan untuk tukar kepada aliran Sains Biologi dengan harapan selepas sahaja habis di matrikulasi, saya mahu melanjutkan pelajaran di dalam bidang Medik.

Dengan izin Allah, saya melupakan hasrat tersebut dan teruskan juga dengan tawaran tersebut. Alhamdulillah, saya dimudahkan oleh Allah untuk memahami subjek Fizik dengan baik. Salah satu faktor yang membuat hati saya tertarik dengan matapelajaran ini ialah inspirasi daripada pensyarah saya sendiri.

Boleh saya katakan, di matrikulasi saya mula dapat memahami matapelajaran Fizik dengan lebih baik. Terdapat seorang pensyarah, apabila saya bertanyakan soalan, beliau tidak akan terus jawab.Sebaliknya beliau pula mempersoalkan soalan tersebut kepada saya. Pada detik itu, saya mula sedar bahawa otak saya sudah mula berfungsi (fikir).

Selama pengalaman hidup saya, jarang saya berjumpa dengan seorang pendidik yang meminta para pelajarnya berfikir dahulu sebelum menjawab. Selalunya para pelajar terus diberi jawapan. Dan saya fikir, ini adalah salah satu faktor kunci kepada pembinaan kefahaman para pelajar dalam mana-mana subjek yang dipelajari.

Saya cuba aplikasikan ia kepada para pelajar sendiri. Secara jujurnya, saya merasakan begitu sukar untuk melaksanakan aplikasi ini oleh sebab saya mempunyai kecenderungan untuk memberi jawapan terus kepada mereka. 

Pada hari Khamis yang lalu, saya membuat kuiz untuk kelas saya. Salah seorang pelajar meminta bantuan daripada saya untuk menyemak jawapan yang ditulisnya. Kuiz itu adalah daripada tajuk 'Forces'.Saya mengambil langkah untuk tidak terus memberi jawapan 'Ya' ataupun 'Tidak'. Apa yang saya lakukan ialah, saya bertanyakan kembali kepada pelajar saya, kefahaman (teori) yang harus difahami di dalam tajuk Forces ini.

Boleh dikatakan hampir 5 ke 10 minit saya bersoal jawab dengan pelajar saya. Di dalam hati saya mahu saja meletup apabila pelajar saya tidak dapat memberi jawapan seperti yang dimahukan. Namun begitu, saya cuba menahan diri, dan terus bertanya dan bertanya. Secara tiba-tiba anak murid saya menjerit,

" Cikgu, saya dah dapat. Terima kasih cikgu."

Allahuakbar... Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya pada masa itu. Rasa gembira pun ada. Rasa nak pengsan pun ada.

Itu baru seorang. Ada seorang pelajar lagi meminta bantuan daripada saya. Seperti biasa, saya mengambil langkah untuk tidak terus memberikan jawapan. Pada kali ini, pelajar saya yang seorang ini agak unik dengan cara dia berfikir. Dia bertanyakan kepada saya, bagaimana mahu menjawab soalan ini. Saya cuba bagi petunjuk supaya dia boleh memikirkan strategi secara sendirinya. 

Saya agak terperanjat dengan kaedah yang digunakan oleh pelajar saya untuk menjawab soalan tersebut oleh sebab hanya dia seorang sahaja yang menggunakan kaedah tersebut.

Sekali lagi saya tersedar bahawa setiap manusia itu mempunyai pemikiran yang unik yang tidak sama antara satu sama lain. Proses berfikir juga tidak sama. Ada orang cepat memproses maklumat dan ada orang lambat menghadam maklumat. Maka Allah telah pun berpesan kepada kita agar belajarlah memahami manusia terutamanya kita sebagai pendidik.

Belajarlah memahami anak murid kita dan berilah peluang kepada mereka untuk berfikir. Jangan sesekali mengatakan dia tidak pandai ataupun tiada masa depan. Siapalah diri kita mahu menghakimi diri mereka. Apa yang kita nampak pada diri mereka hanyalah sedikit. Tetapi Allah lebih tahu mengenali diri mereka.

Proses belajar untuk mendapat kefahaman itu panjang seperti kita sebagai hamba Allah yang cuba untuk mengenali Pencipta dunia ini. Semuanya bermula daripada buah fikiran.

Wallahu'alam.


4 comments:

  1. saya bukan seorang guru.tapi alhamdulillah pernah diberi peluang utk menjadi seorang pendidik. teknik yg sama saya gunakan kepada murid2 sy sebagai seorang cikgu ganti.walaupun matematik matapelajaran yg dibenci oleh kebanyakan murid,tapi dengan layanan sebagai seorang kawan kepada murid2 sy, mereka nampak lebih berminat dan berebut2 untuk menjawab. di awal kelas sy akan terangkan teori,kemudian semasa sesi latihan,sy akan tanya balik murid2 konsep yg perlu kita tahu dlm topic tersebut. walaupun mereka akan mengambil sedikit masa, tapi sy amat puas hati tgk effort yg mereka beri untuk menjawab walaupun salah.

    ReplyDelete
  2. sy juga kak..dulu benci sgt dgn fizik..mmg ssah nk faham.tp bila dh msok matrik gambang dpt pnsyarah fizik yg mcm tu.hari prtama dia amngajar klas tuto dia tros pnggl nama sy k dpn buat soln lps dia ajar ssuatu tjuk tu.mmg trbaik sgt..xsngke fizik la mtaplajaran yg sy plng suka slpas itu...pn Noraida bt Junoh..xkn sy lpekan...bnyk mmberi nsehat swaktu kami disana antara yg plng sy igt "jangan kata kamu dh tawakal bila kamu hanya brusaha 50%.tdk itu bukan tawakal!tawakal itu bila kamu berusaha 100% .itu bru kamu bleh pnggl tawakal."
    dan "kamu jgn risau klau kamu xdpt kputusan cmerlang.wlaupon kamu dh buat sebaik mungkin.wlaupon kawan yg slalu meniru kerja kamu dpt lbih baik dari kamu.kamu jgn risau..percayalah..Allah akn bls usaha sseorg..sy dlu ada kwan yg mcm tu.kputusan elok wlaupon ske mniru,tp rzeki kt krja dia xdpt.yg dpt markah sikit tp rjin tu yg brjaya time krja..."lbih kurang mcm tu kata2 dia..
    hanya Allah yg tahu btapa dia tlh mnyentuh hati sy.jadi sy harap pnulis blog ni pon akn tros brsmangat dlm mndidik bkl pmbela agama.prcayalah.kadng kita x tahu tindkan dan kata2 kita mmpu mngubah sseorg.krana kata2 dia lah mndorong sy brusaha walau kdg rasa igin putus asa.sy blajar jg krana "kata2 xboleh tawakal klau x usaha 100%"..doakan sy brjaya dunia akhirat semua.

    ReplyDelete
  3. masyaAllah sangat berguna untuk saya.. jazakillahu khayr!

    ReplyDelete
  4. cikgu amiraaaa ♥ mit8

    ReplyDelete