17/03/2012

Cintaku Bukan Atas Nama Syria

[Kredit]


" Min! Kau dah siapkan exercise sheet 1 yang Atuk kita bagi minggu lepas?" Atuk ialah gelaran kepada pensyarah mereka yang telah begitu tua tetapi masih gagah untuk menjadi tenaga pengajar. Ramai pelajar yang begitu menghormati kredibilitinya sebagai pensyarah pada usia itu.

" Baru setengah. Yang aku tak tahu aku tak jawab. Like usual." Syamin begitu sibuk mengadap komputer ribanya. Rohana di tepinya tidak dipedulikan sangat.

" Apa yang kau tengah taip tu? Busy lain macam ja." Bukan untuk menjadi penyibuk. Tapi Rohana ingin tahu apa yang sedang dilakukan oleh Syamin.

" Tulis artikel..." Perlahan suara Syamin. Dia seperti tidak mahu Rohana mengetahui aktiviti dia pada waktu itu. Taipannya mula menjadi perlahan kerana dia tahu sebentar lagi dia akan mendengar teguran daripada orang di sebelahnya.

" Min! Kau tau tak apa yang kau tengah lakukan ni. Ini baru artikel. Belum aktiviti kau yang lain. Kalau pihak sponsor tahu macam mana?" Berhenti terus taipan di komputer riba. Syamin melepaskan nafas yang begitu berat sekali.

" Aku akan buat yang terbaik untuk sembunyikan semua identiti aku tu. Selagi mereka tak tahu selagi itu aku akan terus pekerjaan aku ini. Tapi, kalau mereka tahu sekalipun aku tetap dengan pendirian aku."

" Kau tau kan, kau tengah ambil risiko terhadap diri kau dan juga keluarga kau."

" Aku tidak kisah Ana."

" Susah betul bercakap dengan orang keras kepala ni?" Rohana terus keluar daripada bilik Syamin. Dia takut dia akan melepaskan kemarahan kepada Syamin. Lebih baik dia keluar daripada membiarkan letupan gunung berapi meletus dan kemenangan akan berpihak kepada kegelapan.

Syamin hanya membiarkan pemergian Rohana. Dia tahu dia jenis keras kepala dan suka buat keputusan sendiri. Namun dia tahu apa yang dia sedang lakukan.

Adakah aku berada di pihak yang salah ya Allah?
.......................................................................................................

Setiap detik, Syamin cuba menggunakannya dengan sebaik mungkin. Jika betul-betul dia sudah tidak boleh memandang buku pelajaran lagi maka buku-buku sirah mahupun buku-buku himmah akan dibacakannya.

Pada petang ini, dia tiada kelas. Jadi Syamin membuat keputusan untuk melepak di cafe. Lagipun dia membawa komputer riba. Senang untuk dia meneruskan penulisan yang tertangguh.

Tidak ramai yang melepak di cafe pada masa ini. Lagi pun jam sudah menunjukkan tepat pada pukul 3.00 petang.

Syamin membaca perkembangan terkini yang sedang berlaku di Malaysia dan juga di luar negara. Tatkala dia sedang membaca, telefon bimbitnya berbunyi. Dia mencapai telefon bimbit di dalam poket jaketnya.

" Rohana..." Pelik. Jarang sekali sahabatnya itu membuat panggilan. Selalu bersms ataupun hantar message di facebook. Punat hijau ditekan.

" Assalamualaikum Ana."

" Min. Kau balik rumah sekarang juga. Now!" Tidak sempat Syamin untuk berbalas apa-apa apabila talian diputus oleh Rohana. Tidak sedap pula hatinya apabila mendengar suara Rohana yang begitu cemas sekali. Tanpa membuang masa, Syamin terus mengemaskan barang-barangnya di atas meja dan terus bergerak pulang ke rumah.

Ya Allah. Jangan ada apa-apa yang berlaku kepada sahabatku. Lindungilah dia ya Allah.
.......................................................................................

Rasa lelah pula berlari balik ke rumah. Syamin mengambil beberapa kali nafas untuk menstabilkan kembali sistem pernafasannya.

" Fuh!" Barulah dia mengambil gugusan kunci untuk membuka pintu rumah. Pintu dibuka.

" Assalamualaikum! Ana! Kau di mana?" Sunyi. Rohana tidak menyahut salamnya. Lantas itu Syamin bergerak ke ruang tamu. Semakin dekat dengan ruang tamu, semakin dia dapat mendengar bisikkan-bisikkan suara. Semuanya berbicara mengenai dia. Apa yang sedang berlaku?

" Ana, Kak Ita, Wani..." Ada ramai lagi yang berada di ruang tamu. Semuanya melihat ke arah Syamin. Rasa gementar di hati Syamin apabila melihat sinaran mata daripada seorang demi seorang.

" Min. Duduk dulu." Kak Ita cuba mengawalkan keadaan. Syamin bergerak ke depan dan mengambil tempat duduk di atas sofa yang berhadapan dengannya. Beg galasnya diletakkan di tepi sofa.

" Kenapa ni Kak Ita?" Syamin tidak mampu lagi menunggu suasana yang begitu senyap sekali. Berbagai-bagai perkara yang sedang bermain-main di mindanya.

" Macam ni Min. Kak Ita dengan semua orang bukan tak suka berkenaan dengan aktiviti Min sekarang ini. Bagus di sisi Allah. Cumanya, sekarang ini..." Kak Ita tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya lagi.

" Sekarang ini pihak biasiswa sedang buat ugutan untuk tarik biasiswa kau balik. Kau tau kan, sekiranya biasiswa ditarik, kau tak boleh berada di sini lagi. Kau nak benda ini berlaku?" Rohana tidak sanggup lagi  untuk berdiam diri. Dia bukan marah kerana marah tapi dia marah kerana sayangkan Syamin.

" Ana. Please. Biar akak yang cakap." Kak Ita cuba mengambil posisinya kembali sebagai ketua dalam kumpulan tersebut.

" Min. Betul apa yang Ana cakapkan tu. Tapi pihak biasiswa bagi peluang kepada Min untuk menarik kembali semua artikel Min tu. Dan yang paling teruk, keluarga Min juga dikacau oleh orang luar. Min fahamkan apa yang akak maksudkan dengan orang luar?"

" Tak akak. Min takkan tarik kembali artikel Min. Min buat semua itu bersebab."

" Kau masih nak berkeras kepala lagi dalam keadaan keruh macam ni!"

" Kau tak tau Ana. Kau boleh cakap apa saja kau nak cakap pasal aku. Aku tetap dengan pendirian aku. Aku buat semua ini bukan untuk aku tapi untuk semua orang. Aku mahu mereka sedar siapa yang sedang derita sekarang ini. Aku mahu mereka sedar apa yang sedang berlaku ke atas diri mereka."

" Tapi kau sedang bertarung dengan nyawa kau termasuk keluarga kau. Kau tak sayang kan mereka ke?" Rohana tidak mampu menahan air matanya lagi daripada mengalir. Dia rasa sebak sangat.

" Siapa kata aku tidak sayang keluarga aku, Mereka yang jaga aku selama ini. Tapi..." Syamin juga tidak mampu menahan sebak di dadanya lagi.

" Tapi aku juga sayangkan keluarga semuslimku. Di Syria sekarang, mereka menderita. Tapi kita berada dalam keselesaan dan keseronokkan. Bagaimana aku mahu gembira sekira mereka di sana sedang menderita? Mereka juga keluargaku Ana. Setiap tembakkan dan pukulan ke atas badan mereka, aku juga terasa. Bagaimana mungkin aku membiarkan semua ini berlaku? Mereka keluarga kita Ana. Kalau kita tak tolong, mereka akan tuntut daripada kita pada suatu masa nanti. Salahkah aku Ana? Salahkah tindakan aku?"

Akhirnya air matanya mengalir juga ke pipi.  Semua yang berada di ruang tamu itu turut berasa sayu mendengar curahat isi hati Syamin.

Benar. Kalau semua orang tidak mempedulikan nasib Syria, pada satu saat nanti penduduk Syria akan menuntut peduli mereka, mengapa orang sekeliling mahupun seagama mereka tidak mempertahankan hak yang sepatutnya dipertahankan? Mengapa dibiarkan kejahatan berleluasa?

.............................................................................................

" Min! Min!" Suara Kak Ita begitu cemas sekali. Aku yang berada di dapur keluar mencari Kak Ita.

" Kenapa Kak Ita?" Syamin dapat melihat sinar sayu dan kesedihan di mata Kak Ita.

" Kak Ita! Kenapa ni?" Syamin menggoyangkan bahu Kak Ita beberapa kali.

" Keluarga Min.." Itu saja yang mampu dikatakan oleh Kak Ita. Dia tidak mampu untuk meneruskan lagi  percakapannya.

" Apa yang terjadi dengan keluarga Min?"Syamin mula berasa cemas. Nafasnya juga tidak menentu. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa mahu menangis.

" Min! Keluarga kau Min. Keluarga kau kena ditangkap." Entah daripada mana datangnya Rohana. Syamin tidak mampu berdiri lagi. Dia terus terduduk di atas karpet. Air mata mula deras mengalir daripada matanya. Syamin menumbuk-numbuk karpet. Melepaskan segala kesedihan di hati.

Tidak lama lepas itu dia dapat merasakan seseorang sedang memeluknya daripada depan. Kemudian dia terasa pula pelukkan daripada belakang. Semuanya menangis.

" Akak...Betul ke apa yang sedang Min lakukan ini?" Dia berasa goyah dengan pendiriannya tatkala mendengar penangkapan ibu bapanya. Adakah dia sedang pentingkan diri sendiri?

" Tak Min. Akak yakin Allah redha dengan pekerjaan Min. Ini ujian buat Min supaya Min terus kuat bergantung terus kepada Allah. Yakinlah dik."

" Min, aku sayang kau. Aku ada bersama-sama dengan kau." Rohana pula bersuara untuk memberi sokongan kepada Syamin. Memang selama ini dia banyak menentang. Tapi itu semua adalah untuk keselamatan Syamin.

Syamin tidak mampu meluahkan apa-apa lagi selain daripada menangis. Semoga tangisan ini mampu memberi kesegarannya kembali.

.......................................................................................

Sudah dua hari berlalu. Ibu bapanya masih dalam pengawasan pihak berkuasa. Dia buntu dan tidak tahu bagaimana untuk melepaskan ibu bapanya. Tambah pula dia mendapat banyak ugutan daripada pelbagai pihak.

Syamin membuka emailnya. Tiba-tiba dia mendapat satu email yang tidak dikenali. Dia membuka email tersebut untuk melihat isi di dalamnya.

' Jika mahu keluarga anda selamat, hentikan semua penghantaran artikel. Dan jika kau ingin selamat daripada ancaman kami, tinggalkan dunia penulisan.'

Pendek isi email tersebut tetapi masih mampu merobek secebis hati Syamin. Syamin menutup email tersebut kemudian terus ke tandas.

Setelah membersihkan diri, dia mengambil telekung. Sejadah di hamparkan.

" Allahuakbar!"

Kedua tangannya di tadahkan setelah mengakhiri solatnya dan juga zikir.

" Ya Allah! Dengarkanlah rintihan hamba-Mu yang berdosa ini. Aku diuji ya Allah. Aku diuji dengan keluarga yang aku sayangi. Dan aku diuji dengan ketetapan pendirianku. Aku lemah ya Allah. Aku tidak mampu mengharungi semua ini tanpa Engkau disisiku.

Ya Allah! Sekiranya hamba-Mu yang bernama Sayyid Qutb berjuang sehabis yang mungkin sehingga akhir hayatnya sebagai mati syahid, yang tidak pernah goyah dengan pendiriannya, yang tetap berpegang dengan syahadah dan yang selalu menerima pelbagai hukuman apakah aku  perlu risau akan kehilangan keluarga kesayanganku dan bimbang jalan yang ku ambil?

Ya Malik! dia telah meninggalkan banyak penulisan yang membuat orang ramai terkesan sehingga sekarang. Ya Allah perkenankanlah doa hamba-Mu ini untuk terus mengikut jejak langkahnya.


Ya 'Alim! hanya Engkau saja yang tahu. Kecintaanku bukan kerana atas nama Syria semata-mata tetapi kecintaku ini kerana mereka keluarga muslimku. Ya Allah Engkau berikanlah kekuatan kepada mereka untuk terus berjuang dan untuk terus mempertahankan kalimah-Mu.


Ya Rahman! setiap solatku aku telah mengucap syahadah. Maka izinkan aku untuk menunaikan janjiku kepada-Mu.Izinkan aku berjuang untuk mengembalikan kalimah-Mu sehingga akhir hayatku.Izinkan aku ya Allah. Tetapkanlah aku untuk terus berada di atas agama-Mu ini.

Ya Allah! moga pekerjaanku ini mendapat redha-Mu. Ameen."

Janji Allah benar dan akan berlaku. Islam akan bangun suatu masa nanti. Hanya menunggu masa untuk berlaku.

1 comment:

  1. B'juang sampai titisan darah yang terakhir.Bukan redha manusia yang cari tapi redha Allah s.w.t.

    Nice sharing.

    ReplyDelete