16/02/2012

Semuanya Bermula Daripada Diri

                                           [Kredit]

Petang itu sungguh mendamaikan. Sesuai untuk menjalankan aktiviti rehlah bersama sahabat-sahabat dan keluarga. Tidak pun melakukan aktiviti bersukan. Setelah berpenat lelah bekerja dari pagi hingga ke petang, tidak salah mencuri masa untuk diisi dengan aktiviti-aktiviti yang meringankan minda dan merenggangkan fizikal yang kelihatan tidak bermaya. Minda dan badan kita juga ada hak-hak mereka tersendiri yang mesti kita tunaikan.

Peluang ini diambil oleh Azman dan Ikram yang sedang belajar di Universiti Malaya. Mereka suka melepak di Tasik Darul Aman. Di sekitarnya terdapat aktiviti berjogging, kayak, dan berkelah. Bagi Azman dan Ikram, mereka lebih menyukai aktiviti berjogging.

Kadang kala mereka membuat larian dalam 3 pusingan jika ada masa. Apabila mereka telah habisi semua pusingan, selalunya mereka akan mengambil masa ini untuk duduk berbual. Mereka suka duduk berdekatan yang menghadap tasik yang mampu memberi ketenangan.

" Man, minggu ada program." Ikram memulakan perbualan setelah mampu bernafas secara normal kembali akibat daripada larian joggingnya tadi. Azman menggaru-garu kepalanya apabila mendengar perkataan program.

" Program apa pula?" Untuk tidak mahu membuat sahabatnya rasa kecil hati, dia bertanya selanjutnya mengenai program itu. Sememangnya dia berasa sangat berat hati dan sensitif apabila topik ini diutarakan. Dia sendiri tidak tahu mengapa. 

" Program ini lebih kepada bagaimana nak merasai kecintaan kepada Allah. Panelnya terdiri daripada Ustaz Kamarul dan Ustaz Amin. Ko nak pergi tak?" Sekali lagi Ikram bertanya kepada Azman. Dia tahu Azman sangat sukar untuk ke program-program sebegini. Kehidupannya lebih dipenuhi dengan hiburan. Hati itu sudah berkarat dan ia harus dikikiskan sebelum hati menjadi seperti tanah gersang. Tanah gersang yang tidak  pula menangkung air dan tidak pula menumbuhkan tanaman.

" Kejap aku fikir." Ikram beralah dengan Azman. Siapa tahu dia perlukan masa untuk berfikir. Ruang itu diberi sepenuhnya kepada Azman untuk berfikir. Sambil-sambil itu Ikram mengambil kesempatan untuk membaca Al-Mathurat.

Dalam bibirnya sedang mengalunkan zikir, Ikram ternampak Azman mencapai sebatang bunga kecil yang berada di sebelahnya. Bunga itu dipetik dan bunganya dibuang satu persatu. Ikram berasa pelik dengan kelakuan Azman. Takkanlah begitu sukar membuat keputusan sebegini. Dia tidak betah lagi untuk berduduk diam. Lantas dia menggenggam tangan Azman yang berisikan bunga kecil.

" Man, susah sangat ke ko nak buat keputusan?" Keluhan kedengaran. Muka Azman tertunduk ke bawah melihat genggaman tangan sahabatnya ke atas tangannya.

" Entah la." Sekali lagi keluhan kedengaran daripada Azman. Dia menatap wajah sahabatnya dengan harapan Ikram dapat memahami keadaan dirinya.

" Man, kalau sekali pun ko nak buat keputusan, tak usah bergantung kepada kiraaan cabutan bunga ini. Ia tidak mampu membawa kebaikan kepada ko dan sepertinya ko berserah bulat kepada dia. Diri ko, ko harus tahu ke mana ko nak bawa. Bukan bunga ini. Dan semuanya bergantung atas kemahuan ko sendiri. Kalau ko nak raih cinta Allah, tak mustahil ko sanggup buat apa saja untuk mencapai matlamat ko." Ikram cuba memperbetulkan pegangan Azman kembali. Dia tidak seharusnya bergantung kepada keputusan makhluk yang tiada pula mampu menentukan kebaikan kepada dirinya.

" Terus terang aku katakan, aku berat nak pergi." Akhirnya terkeluar juga luahan daripada bibir Azman.

" Kenapa ko rasa berat hati?"

" Aku nak belajar dan nak fokus dekat pelajaran aku. Tak lama lagi dah nak exam. Cuak aku tau." Itu adalah alasan yang biasa didengari oleh Ikram.

" But I believe not 24 hours you can stay longer with your study. Mesti ko isi dengan perkara lain kan?"

" Erm. Betul. But still."

" Begini. Apa kata ko beri peluang kepada aku untuk ajak ko ke program. Kalau betul ko rasa tak nak join dah selepas ini, I'll respect your decision. Apa macam?" Azman memikirkan tawaran yang dilontarkan oleh Ikram. Sebenarnya, telah banyak kali Ikram mengajaknya dan dia menolak dengan cara yang baik. Ikram pula tidak pula melenting apabila dia menolak pelawaannya. Tidak salah rasanya sekiranya dia memberi peluang kepada Ikram. Lagi pun Ikram sudah berjanji akan menghormati keputusannya selepas program ini dilangsungkan.

" Okey. Aku ikut." Bukan main gembira lagi Ikram mendengar keputusan daripada Azman. Satu permulaan yang baik.

" Tapi aku ada satu syarat?" 

" Apa pula syaratnya?"

" Nanti ko datang program, ko niatkan untuk mencari jalan pulang ko kembali bukan sebab ajakan aku. Boleh?" Pelik betul dengan syarat yang diletakkan oleh Ikram. Azman sendiri tidak dapat memikirkan mengapa syaratnya diletakkan sebegitu rupa. 

" Tengoklah dulu. Dah la. Jom blah. Dah nak Maghrib ni." Azman sudah siap bangun. Disapu seluarnya di bahagian belakang yang kelihatan begitu kotor. Begitu juga dengan Ikram.

" Ingat tau syarat aku tu." Ikram cuba mengingati syarat yang diletakkannya kepada Azman. Azman pula buat tidak endah dengan pesanan tersebut.

" Nanti aku fikir dulu." Tiada mampu lagi untuk bersuara setelah Azman berkata yang sedemikian. Hanya Allah mampu menolongnya.

.................................................................................................................

" Ikram." Azman memanggil Ikram. Semasa itu baru sahaja program yang perlu dihadiri oleh Azman. Ramai yang berpusu-pusu untuk pulang ke halaman masing-masing.

" Apa?" Tika Ikram sedang berkemas buku dan alat tulisnya. Semuanya itu diletakkan di dalam beg galasnya. Azman yang berada di sebelahnya masih tidak memberi sebarang tindak balas. Ikram menatap wajah itu setelah tiada pula kedengaran suara.

" Hari tu kan ko dah janji dengan aku kan?" Terasa berat pula untuk Ikram mendengar jawapan daripada Azman. 

" Ada." Hanya sepatah perkataan yang keluar daripada bibir Ikram.

" Jadi aku nak tuntut janji itu. Selepas ni, tolong jangan tak bagi tahu apa yang program ko nak hadiri."

" What?" Ikram seakan-akan tidak percaya apa yang dia dengari sebentar tadi.

" You heard me. Tiada pengulangan. Aku blah dulu." Cepat-cepat Azman bangun daripada kerusi yang didudukinya. Masa untuk berlari. Sempat Ikram memegang kejap bahu Azman.

" Boleh aku tahu kenapa?"

" Entah. Dah la aku nak pergi dulu." Azman cuba melepaskan tangan Ikram di bahunya. Namun Ikram bertindak lebih pantas lagi.

" Man, Dia dah buka pintu hati ko. Jangan sia-siakannya. Rebut selagi mampu." Baharulah Ikram melepaskan pegangan di bahu sahabatnya itu.

" Insya-Allah." Hanya senyuman yang mampu dihadiahkan kepada Ikram.







No comments

Post a Comment