12/02/2012

Lesbian


                                         Kredit


Sebentar lagi, dalam beberapa minit lagi, jam akan menunjuk tepat pada pukul 10.05 pagi. Semua orang di dalam ruang bilik tersebut cuba untuk bertahan dan bertahan. Ada pula orang yang sedang bermain-main pen di tangan. Ada pula yang cuba memberi tumpuan sepenuhnya. Entah telinganya berfungsi atau sekadar melihat tanpa mendengar.

" Kring!" Semua orang cepat-cepat mengemas buku-buku di atas meja dan menyimpan peralatan menulis di dalam bekasnya. Tercengang seorang hamba apabila melihat kekalutan yang sedang berlaku sampai mencekak pinggangnya.

" Amboi, kalau time rehat, cepat, tangkas dan sharp. Bila time dengar pengajaran daripada cikgu, semua resah." Cikgu Ramlah menggeleng kepalanya beberapa kali apabila melihat sikap anak-anak muridnya. Darah orang muda sememangnya kurang bersabar dan semuanya ingin cepat-cepat dilaksanakan. Cikgu Ramlah tidak mampu lagi mengawal pelajarnya.

" Okay, cikgu akan lepaskan kamu. Tapi, cikgu akan bagi homework  untuk melihat sama ada kamu faham atau tidak semasa saya mengajar topik tadi. No excuse. Siapa tak siapkan kerja, just wait and see." Reaksi muka ala-ala jahat di muka Cikgu Ramlah menimbulkan keluhan pada setiap pelajar.

" Atau nak cikgu bagi homework from chapter 1 until chapter 3?"

" Baiklah kami akan buat. Cikgu ni, tak sporting ar." Cikgu Ramlah hanya tersenyum mendengar kata-kata daripada salah seorang pelajarnya

" Nanti, Naufal datang ke bilik cikgu untuk ambil homework tu."

" Baik Cikgu." Semua bangun untuk memberi ucapan terima kasih kepada Cikgu Ramlah. Sedikit demi sedikit semua orang yang berada di dalam kelas itu beransur pergi ke kantin untuk mengisi keperluan perut. Hanya dua orang sahaja yang masih di dalam kelas.

" Ana, mak ko masak apa hari ini?" Raihana mengeluarkan bekalan makanan dari dalam beg galasnya. Bekalan itu diberikan kepada Mashitah. Cepat-cepat Mashitah membuka bekalan tersebut untuk melihat isi di dalamnya.

" Wah! Nasi lemak Ana. Mesti sedap ni." Sudu dicapai dan terus merasmikannya tanpa keizinan Raihana.

" Mak aku? Mesti la superb dia punya masakan. Kalah nasi lemak kantin kita tau." Mashitah hanya mengangguk-anggukan kepala sambil menjamah nasi lemak.

" Ko sorang je yang makan? Aku nak juga." Tersengih Mashitah mendengar bebelan Raihana.

" Terlupa pula aku. Sedap sangat nasi lemak ni. Mari aku suapkan untuk ko. Buka mulut." Raihana membuka mulut seperti yang diarahkan oleh Mashitah. Sudu yang berisikan nasi lemak disuakan ke arah mulut Raihana.

" Bismillahirrahmanirrahim. Erm."

" Ita! Suka main-main." Raihana menampar-nampar tangan Mashitah. Mana tidaknya. Suapan itu untuk dirinya bukan untuk Raihana. Tertawa Mashitah apabila dapat mengenaka Raihana.

" Ini serius aku suapkan untuk ko. Buka mulut."

" Betul ni?"

" Betul. Aku tak tipu punya." Disuakan sekali lagi sudu yang berisikan nasi lemak ke mulut Raihana. Kali ini tidak bermain-main lagi.

" Ana."

" Erm." Raihana pada masa itu sedang menikmati masakan emaknya.

" Kita akan berkawan sampai bila-bila kan?" Berkerut dahi Raihana mendengar soalan yang tidak terjangka daripada Mashitah. Dia berfikir sejenak. Beberapa saat kemudian, dia memegang tangan kiri Mashitah.

" Selamanya." Tersenyum Mashitah mendengar jawapan daripada Raihana. Tiada apa yang boleh membuat dia gembira kecuali Raihana disisinya.

.........................................................................................................................

Keadaan pada pagi itu sangat sibuk dengan manusia yang mengejar masa untuk ke tempat kerja. Suatu perkara yang sering berlaku pada hari-hari bekerja. Namun tidak pula bagi pelajar-pelajar Matrikulasi. Tidak perlu tergesa-gesa dan tidak perlu risau akan kesibukkan jalan raya. Semuanya tersedia di dalam satu kawasan. Tempat tinggal, dewan kuliah, bilik tutorial, tempat makan dan lain-lain lagi.

" Su, aku kena gerak dulu. Ana dah tunggu aku dekat cafe B. Aku turun dulu ek?"

" Pergi je dulu. Nanti aku beransur."  Jadual untuk hari ini diperiksa terlebih dahulu supaya tidak membawa buku yang salah atau terlebih bawa buku. Apabila sudah yakin semua sudah ada di dalam beg, terus digalas beg tersebut.

" Su. Aku pergi dulu. Assalamualaikum." Sekali lagi nama Suraya dipanggil oleh Mashitah untuk memberitahu bahawa dia sekarang betul-betul hendak pergi dahulu.

" Ya la. Waalaikumussalam." Acuh tak acuh Suraya menjawab salam daripada Mashitah.

.............................................................................................................................

Cafe A dan Cafe B, semuanya telah dipenuhi oleh pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah. Ada yang cepat-cepat makan untuk berada di dalam kelas lebih awal. Ada pula yang makan dengan penuh ketenangan. Tiada urusan yang menggesakan diri mereka. Terdapat seorang pelajar yang hanya duduk di sebuah meja. Makan tidak pula. Minum pun bukan. Jam tangan dilihat beberapa kali. Matanya juga liar di sekeliling cafe. Sejurus itu, muncul gadis berbaju kurung ungu dengan sedikit corak bunga raya.

Melihat kemunculan gadis tersebut, pelajar tadi menunjukkan jari telunjuknya ke arah jam tangannya kepada gadis berbaju kurung ungu itu. Gadis itu hanya menunjukkan jari telunjuk dan jari hantu sebagai tanda keamanan kepada pelajar tersebut.

" Okay. Sorry aku terlambat. Macam biasa tidur lepas solat subuh." Gadis itu menjelaskan alasannya. Pelajar tadi pula pura-pura tidak mendengar alasan tersebut.

" Dah-dah. Aku tak nak dengar alasan ko yang sama tiap-tiap hari aku dengar. Jom, ambil makanan. Kita ada 15 minit lagi untuk makan before lecture mula." Ditarik lengan baju kurung gadis tadi untuk segera mengambil makanan.

" Rilek la Ana."

" Mashitah!" Kalau nama dia disebut dengan nama penuh, sememangnya Raihana betul-betul tengah marah. Untuk tidak menambahkan api kemarahan sahabatnya, Mashitah segera mengikut Raihana ke tempat makanan yang disediakan.

" Chill Ana. Jom kita ambil makanan. Tak nak ar marah pagi-pagi ni. Senyum please." Mashitah sekarang seperti tengah mengadakan kelas cara untuk senyum kepada Raihana.

" Senyum." Pinta Mashitah sekali lagi. Kedua tangannya menyentuh kedua pipi Raihana. Cuba untuk mengukirkan senyuman di bibir Raihana. Akhirnya berhasil juga tanpa dipaksa.

" Macam tu la kawan." Mashitah memeluk lengan Raihana. Tanpa mereka sedar, ada orang yang memandang jijik terhadap perbuatan mereka itu.

"Woi! Ko cuba tengok sweet couple  tu. Meluat betul aku tengok kemesraan diorang. Geli pun ada." Sepertinya hamba Allah itu hanya ingin berbicara dengan sahabat sebelahnya saja. Namun, suara lontarannya seperti ingin satu bagunan cafe tersebut tahu situasi yang dialaminya sekarang. Mashitah dan Raihana hanya buat pura-pura tidak dengar percakapan hamba Allah itu.

" Ala, macam ko tak tahu, diorang kan pasangan sehati sejiwa. jangan la ko jealous." Sahabat kepada hamba Allah menambahkan lagi isi kenyataan tadi.

" Buat apa aku nak cemburu. Aku pun ada boyfriend. Tak macam diorang tu." Tertawa golongan itu sesama sendiri mendengar kenyataan yang baru keluar daripada mulut hamba Allah. Mashitah dan Raihana hanya berdiam diri. Tidak pula bertindak atau untuk menunjukkan protes. Mereka sendiri tidak faham, kenapa ada orang tidak menyukai perhubungan mereka. Lagi pun, mereka memang rapat sejak daripada sekolah menengah lagi. Persoalan itu hanya dibiarkan ditiup angin saja.

.......................................................................................................................

Pada waktu sebegini selalunya diambil peluang oleh Mashitah dan Raihana untuk berjalan-jalan di kawasan matrikulasi setelah berpenat lelah belajar dari pagi hari hingga ke petang.Rasa selesa dan segar apabila merasakan tiupan angin dan tambahan suasana kehijauan yang mendamaikan.Segala kekusutan di minda secara perlahan-lahan berkurang. Kuasa Allah yang menciptakan alam dan angin yang mampu membuat manusia merasakan ketenangan.

" Ana, seronoknya dapat keluar jalan-jalan macam ni. Masa ni la aku ada peluang berborak dengan ko luar daripada topik kita belajar." Tangan Mashitah di depangkan untuk merasai sentuhan angin yang begitu lembut. Nafasnya ditarik begitu dalam sebelum melepaskannya secara rasa puas hati yang tidak mampu diungkapkan melalui kata-kata.

" Betul. Aku pun rasa hilang stress dengan keadaan sekeliling kita sekarang ni."

" Eh! Ana, itu bukan Maira ke?" Raihana melihat ke arah tempat yang ditunjukkan oleh Mashitah.

" Betul la. Cuba ko panggil dia. Suara ko kan kuat lagi daripada aku."

" Amboi. Sempat lagi perli aku ek? Nak kena ni?" Mashitah mencari sasaran untuk mencuit Raihana. Namun Raihana tahu aura tersebut, terus dia mengelak. Gelak tawa mereka menarik perhatian sekumpulan lelaki.

" Din, itu bukan ke pasangan orang yang selalu gosip tu? Aku mula-mulanya tak nak percaya. Yalah, daripada mulut orang perempuan ni kadang kala tak boleh percaya sangat. Tapi, bila lihat dengan mata kepala aku sendiri, betul la apa yang classmate kita kata. Tengok tu, bukan main mesra lagi." Sebahagian yang lain hanya mampu memandang. Tidak tahu untuk menunjukkan reaksi bagaimana. Kata-kata itu sebenarnya dapat didengar oleh Mashitah, Raihana dan Humaira. Tercegang mereka mendengar kata-kata itu. Rasa ingin tahu di dalam diri Mashitah semakin tinggi. Sebelum ini dia buat tidak endah. Tapi tidak sekarang. Persoalan demi persoalan berbangkit di dalam fikirannya.

" Ana, kenapa ek diorang kata kita sebegitu?" Raihana diam dan terus diam. Dia sendiri tidak dapat menjawab soalan tersebut. Dalam keadaan mereka tidak sedar, Humaira sedang berjalan mendekati mereka.

" Jijik sangat ke hubungan kita ni? Kita tak kacau life  diorang pun." Rasa sebak mula menyerap di dalam diri Mashitah. Dia cuba mengawal sehabis yang mungkin. Tidak mungkin dia akan menunjukkan air mata di tempat terbuka.

" Assalamualaikum."

" Waalaikumussalam. Maira." Terkejut Raihana kedatangan Humaira yang secara mengejut. Humaira hanya buat muka biasa-biasa sahaja walaupun dia tahu apa yang sedang berlaku pada waktu itu.

" Eh! Ita, asal ko macam nak nangis ni?" Mashitah tidak mampu menjawab soalan tersebut. Dia takut, sekiranya dia buka mulut, air matanya akan mengalir. Raihana juga tidak menjawab soalan tersebut bagi pihak Mashitah. Keluhan terkeluar daripada Humaira.

" Aku tahu apa yang berlaku." Mashitah dan Raihana masih berdiam diri.

" Aku tahu semua ini bukan hari ini saja tapi sebelum ni lagi." Tercegang mereka mendengar luahan daripada Humaira. Humaira tertawa apabila melihat muka kedua sahabat yang begitu tidak bersalah.

" Korang tak boleh salahkan diorang juga apa yang diorang perkatakan. Dan aku juga takkan menunding jari untuk mengatakan apa yang diorang kata." Terbelit-belit ayat Humaira. Serius, mereka berdua tidak dapat memahami apa yang ingin disampaikan oleh Humaira.

" Maira. Cuba ko straight to the point. Jangan buat ayat-ayat bunga. Kami tak faham." Menambahkan lagi ketawa Humaira. Kemudian dia kembali serius apabila melihat muka-muka sahabat tersebut betul-betul ingin tahu apa yang dia maksudkan ayat tadi.

" Aku tahu korang bukan seperti yang diberi tittle oleh diorang tu. Dan aku tahu korang ni memang berkawan daripada sekolah menengah lagi. Lebih senang aku kata BFF, best friend forever. Islam tak ada kata tak boleh berkawan dengan sesama jantina cumanya kita kena be careful at one point. Bila kita terlalu  menyayangi seseorang boleh menimbulkan fitnah seperti apa yang korang alami sekarang ni." Mashitah dan Raihana masing-masing berdiam diri untuk memikirkan kebenaran kata-kata Humaira. Mereka mengimbaskan kembali bagaimana hubungan mereka yang boleh menimbulkan fitnah seperti apa yang diperkatakan oleh Humaira.

" Contohnya, Ana nak sikat rambut. Secara tiba-tiba Ita kata biar dia yang tolong sikatkan rambut Ana. Perkara sekecil itu pun boleh menimbulkan fitnah. Sebab apa? Sebab Ita hanya tolong menyikat rambut Ana seorang saja. Tidak kepada orang lain. Kalau ikutkan Ana sendiri pun boleh nak sikat rambut dia. Tangan dia masih berfungsi untuk melakukan tugas tersebut. Sayang itu biarlah kepada semua tempat dan bertempat. Rasulullah dan para sahabat juga menyayangi antara satu sama lain.Tetapi tidak berlebihan. Ukhuwwah itu harus ditebarkan bukan distatikkan." Humaira cuba sedaya upaya untuk memberi penjelasan kepada mereka.

" Jadi apa yang harus kami buat. Takkan break kot?" Mashitah seperti ingin suatu jawapan penamat kepada sesi ini.

" Yang sudah diukhuwwahkan teruskan ukhuwwah. Tidak perlu memutuskan tali persaudaraan tersebut. Cumanya cuba untuk mengembangkan network ukhuwwah dengan orang lain sama. Dan buang istilah BFF kepada Ana atau Ita. Tebarkan BFF kepada semua orang yang berkenaan especially yang perempuan. Lelaki tidak ada ye dalam konteks BFF ini."

" Tapi susah la nak semua tu?" Mashitah masih tidak berkeyakinan terhadap dirinya.

" Benda itu senang kalau kita ada kemahuan. Persoalannya Ita mahu atau tidak mahu bukan persoalan susah atau senang." Dalam hidup ini, kemahuan itu adalah aset yang paling utama dalam kehidupan manusia. Jika tiada kemahuan maka semua perkara kebaikan tidak terlaksana. Humaira cuba untuk mempersoal kesungguhan atau kemahuan Mashitah dalam melakukan perubahan.

" Erm." Masih tiada keyakinan yang mantap dalam diri Mashitah. Dia melihat riak wajah sahabat kesayangnya. Namun wajah itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Mungkin juga Raihana dalam keadaan dilemma seperti dia.

" Ana, Ita. Aku tidak pula mengharapkan perubahan yang 180 degree. Kalau ini yang berlaku, aku takut ada yang lebih teruk akan berlaku. Berubah sedikit demi sedikit. Biarpun perlahan tapi ia meresap dalam jiwa. Okay?" Humaira membelek wajah dua orang sahabat itu.

" Ana, ko rasa macam mana?" Mashitah cuba untuk mendengar pandangan Raihana.

" Benar juga kata Maira. Kita selalu bersama-sama di mana-mana saja. Bermesra pun lebih-lebih. Dengan orang lain kita tak bermesra pula macam kita sekarang ni. Aku rasa kena lakukan perubahan supaya hubungan kita tidak dijadikan fitnah lagi. Lebih teruk kalau sampai ke telingan mak dan ayah kita. Tak ke lebih horror? Aku yakin kita mampu. Macam Maira kata tadi, buat sedikit demi sedikit daripada kita tak buat terus dan fitnah terus meliar." Panjang lebar juga Raihana memberi pandangannya. Dia berharap ini adalah permulaan perubahan dia. Kalau sedikit pun dia tidak kisah. Dia yakin apa yang inginkan lama-kelamaan akan tercapai juga.

" Ko akan bersama aku kan?" Mashitah memegang tangan Raihana dengan mengharapkan kekuatan dan keyakinan daripada sahabatnya itu mengalir dalam dirinya.

" Of course la. Ko kan sahabat aku."

" Sayang ko." Mashitah terus memeluk sahabat baiknya. Humaira berdehem banyak kali untuk meraih perhatian dua orang sahabat itu yang sedang berada di dunia sendiri. Apabila sedar akan kelakuan mereka, terus mereka tersenyum kepada Humaira. Dia hanya mampu bersabar dengan kerenah dua orang sahabat baik.

" Dengan aku korang tak nak sayang atau peluk ke?" Raihan dan Mashitah memandang antara satu sama lain. Mereka berfikir untuk menjawab soalan Humaira. Beberapa saat kemudian pandangan mereka terjurus ke arah Humaira.

" Mesti la kami sayang ko." Mereka berdua berkerumun kepada Humaira dengan niat untuk memeluknya. Terus mereka mencapai Humaira dan memeluknya dengan begitu kejap sekali.

" Lemas la aku kalau macam ini korang peluk aku!." Raihana dan Mashitah hanya ketawa mendengar jeritan daripada Humaira. Mereka berdoa dan berharap agar ini adalah titik permulaan ke arah perubahan. Insya-Allah.


* Minta maaf pasal cerpen tergantung sikit before this. I hope you all enjoy it and learn something from this cerpen.

4 comments:

  1. Biasa la tu Mira.

    Dunia dah terbalik, perempuan dgn perempuan rapat, perempuan takda bf, orang kata lesbian, lelaki rapat dgn lelaki, takda gf, orang tuduh gay. Hanya yg bercouple laki perempuan dipandang normal. Yang tidak menjadi kesalahan, nampak mcm salah, yang memang salah pulak nampak indah-indah belaka.

    Dunia dunia.

    :/

    ReplyDelete
  2. masa first sem dulu...saya lebih suka kalo orang anggap keakraban saya ngan kawan saya sbgai hubungan lesbian sbb saya takut sangat kalau budak laki usha or kacau saya...bila teringat balik rasa kelakar jer..ha..ha.. :)

    ReplyDelete
  3. Cerita yg bermanfaat :) ukhuwah perlu disebarkan, bukan distatikkan

    ReplyDelete
  4. sangat setuju dengan pendapat dan pandangan saudari nurshila sulaiman di atas. n_n

    ReplyDelete