02/01/2012

Kembara Di Bumi Canada - Sabar

23 Dec 2011

Alhamdulillah tarikh ini yang dinantikan oleh ana. Kenapa? Sebab ada konferens besar-besaran yang diadakan di Canada yang lebih dikenali sebagai RIS ( Reviving The Islamic Spirit ). Tidak sabar rasanya untuk mendengar pengisian daripada orang-orang yang bukan calang-calang. Contohnya Prof. Tariq Ramadan, Habib Ali Al-Jifri, Yusuf Islam dan banyak lagi speaker yang ana tidak pernah kenali langsung.

Konferens ini dilangsungkan selama 3 hari. Pendaftaran bermula pada pukul 10 pagi. Pada pukul 9.00 pagi sudah ada yang beratur untuk mendaftarkan diri walaupun kaunter masih belum dibuka. Ini merujuk kepada pernyataan sahabat-sahabat ana sendiri. Jika diikutkan kepada jadual, program akan bermula pada pukul 2.00 petang kerana memberi ruang kepada solat Jumaat.

Ana meminta salah seorang sahabat ana untuk mewakilkan diri ana untuk mengambil tiket. Pada masa itu ana mengisi masa tersebut dengan sahabat-sahabat yang lain pada pagi yang indah tersebut dengan sukan ice skating (kantoi). Alhamdulillah ini adalah salah satu sukan kesukaan ana.

Berbalik kepada topik sabar. Apa yang ana ceritakan ini adalah apa yang dilalui oleh ana sepanjang berada di konferens tersebut. Ana sangat-sangat enjoy dengan pengisian yang diberikan sehinggalah selepas solat Isyak. Pada waktu ini minda ana dah tempu. Pengisian yang diberikan tiada satu pun yang masuk bak cikgu ana kata masuk telinga kiri keluar balik di telinga balik.

Tambahan pula ana rasa letih yang teramat memandangkan jadual kembara ana memang agak padat. Masa itu ana teringin sahaja mengatakan kepada sahabat-sahabat ana,

" Jom Balik."

Tapi niat ana terpadam saat melihat mereka begitu khusyuk mendengar pengisian. Ana terus saja duduk dan cuba mendengar dengan tenang. Hanya beberapa minit sahaja ana mampu bertahan. Masa itu ingin saja mengatakan kepada sahabat-sahabat ana,

" Korang, tolonglah fahami diri ini yang letih dan rasa otak dah tak boleh masuk benda pun. Jom ar kita balik."

Setelah melihat muka-muka mereka, ana pendam sahaja kata-kata tersebut. Ana beritahu kepada sahabat ana yang berada di sebelah ana yang ana nak keluar daripada dewan itu dan akan tunggu di tempat duduk yang berhampiran dengan tandas perempuan.

Semasa duduk di tempat itu, mata ana sudah beberapa kali terlelap. Buka tutup buka tutup. Memang agak tidak selesa sehingga ana berjumpa dengan seorang wanita yang cukup hebat bagi ana iaitu Ambassador Shabazz. Bagi sesiapa yang belum mengenali wanita ini jangan segan-segan untuk mencari maklumat tentang dirinya.

Pada masa itu ana hanya terlihat wanita ini bersama-sama dengan masyarakat sambil duduk melayan mereka. Ana hanya melihat sehingga ana melihat dia bangun daripada tempat duduknya. Sungguh ana cukup terpana melihat keadaan dirinya yang memakai tongkat untuk berjalan. Subhanallah tabah sungguh wanita ini.  Masih bergiat aktif dengan dakwah walaupun dalam keadaan yang lemah. Ana berasa begitu kecil sekali. Ana ini baru saja berusia 20-an tapi cepat mengeluh. Cepat sungguh give up dan tidak sabar. Astaghfirullahalazim.

Selepas pemergian wanita hebat ini, lalu pula seorang yang pertaliannya begitu dekat dengan Rasulullah SAW. Habib Ali Al-Jifri. Sungguh mukanya berseri-seri bertambah pula dengan senyumannya. Masya-Allah. Ramai masyarakat mengelilingi dirinya untuk bersalam dan berpeluk. Of course hanya lelaki boleh buat. Gurau saja. Perempuan-perempuan juga tidak ketinggalan untuk mengambil gambar bersama beliau.

Beliau juga seperti wanita hebat tadi. Memakai tongkat semasa berjalan. Tiba-tiba ada seorang wanita tua bersama anak perempuannya cuba menahan Habib Ali Al-Jifri untuk bertanya soalan. Soalannya ana pun tidak dapat difahami kerana mereka berkomunikasi dalam Bahasa Arab. Aduh! Kena belajar ni.

Masya-Allah, beliau begitu santun melayan persoalan wanita tua tersebut sehingga dia berasa puas dengan jawapan yang diberikan. Senyuman tidak pernah lengkang daripada mulutnya dan wajahnya yang begitu tenang sekali. Ana berfikir kalau inilah wajah keturunan yang dekat Rasulullah SAW, ana percaya ana boleh jatuh cinta dengan Rasulullah.

Lama juga ana melihat mereka berbicara. Ada lebih kurang atau lebih 15 minit. Ana berfikir dalam diri mampukah diri ini bersabar sekiranya ada situasi yang memberi tekanan kepada diri ana?

Refleksi : Pemuda sekarang kurang untuk bersabar. Kurang bersabar dalam menghadapi ujian. Tapi apa jawapan Allah terhadap orang yang bersabar,

" ...Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." [3:146]


Sahabat-sahabatku, sabar itu bukan saja menahan marah yang selama ini kita ketahui, tetapi sabar itu juga tidak mengenal erti putus asa dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah, melawan maksiat dan dugaan-dugaan yang dibentangkan oleh Allah.

Sentiasalah tanam dalam diri,

" Allah mencintaiku kerana dia menyayangi orang-orang yang bersabar."

Wallahu'alam









No comments

Post a Comment