04/05/2014

Kembara Mencari Dia

Sejak 10 April yang lalu, saya dan suami menjadi musafir. Kami bermusafir ke setiap negeri dalam Semenanjung Malaysia. Belum ada kesempatan untuk pulang ke Perlis kerana jadual program yang begitu padat.

Dalam kondisi menjadi seorang musafir, kadang kala saya rasa keletihan yang teramat; terasa mahu saja pulang ke Perlis. Di Perlis, sekurang-kurangnya saya boleh berjumpa dengan keluarga dan bersama-sama dengan mereka. Malah saya boleh merehatkan anggota badan yang sudah lama keletihan.

Ada beberapa kali suami saya bertanya, adakah saya menyesal mengikuti dia. Bukan apa, boleh dikatakan setiap hari atau beberapa hari kemudian pasti kami akan bergerak ke tempat yang lain pula.

Secara jujurnya, saya ingin saja pulang ke Perlis. Tetapi saya refleksi diri dan bertanya kepada diri sendiri: kenapa saya lakukan semua ini? Kenapa saya beria-ria mahu mengikuti suami saya?

Kalaulah saya tiada tujuan dalam melakukan pekerjaan ini, maka sia-sia saja kehidupan saya. Sia-sia saja masa yang saya ada. Sia-sia saja wang yang saya laburkan.

Kerana hidup ini hanya perhentian yang sementara. Apa-apa saja yang kita lakukan di sini (dunia), maka itulah saham kita di akhirat - kalaulah manusia sedar akan hakikat ini.

Mengapa saya guna perkataan SEDAR?

Tidak semua manusia tahu mengapa di sebalik apa yang sedang mereka lakukan di atas muka bumi ini. Boleh jadi seseorang itu bersedekah, sebagai contoh, hanya kerana mengasihani nasib manusia yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Tidak salah untuk bersedekah atas dasar kasihan. Cuma, kita patut fikir dengan lebih jauh; mengapa kita mahu memberikan wang kepada manusia yang serba kekurangan ini?

Sedarlah bahawa kita semua akan MATI. Bila-bila masa saja Allah boleh mengambil nyawa kita. Maka pada titik perhentian ini, ketika kita sudah tidak bernyawa, apakah yang telah kita lakukan untuk dijadikan hujah yang boleh menempatkan kita ke syurga Allah SWT? Apakah usaha kita di dunia dalam mengharapkan kebahagiaan di akhirat?

Penulisan saya ini tidak sama sekali ditujukan hanya kepada para pembaca. Malah nasihat ini juga ditujukan kepada diri saya yang kadang kala terlupa akan hakikat kehidupan dunia ini.

Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dengan mengikuti suami saya, saya boleh mengenali masyarakat kita. Saya boleh melihat dengan mata kepala saya sendiri realiti kehidupan masyarakat kita. Saya dapat tahu apa bentuk bantuan yang boleh saya sumbangkan kepada masyarakat walaupun sedikit.

Daripada perjalanan hidup saya ini, saya sedikit sebanyak telah mula memahami apa yang saya mampu salurkan kepada masyarakat dengan memanfaatkan apa yang Allah berikan kepada saya.

Tidak dilupakan juga, saya adalah sebahagian daripada masyarakat. Justeru, jika saya mahu mengubah masyarakat ke arah kebaikan, maka saya patut mula dengan diri saya sendiri dahulu kerana diri yang satu ini juga merupakan sebahagian daripada masyarakat.

Tugas untuk mengubah dunia ke arah kebaikan sememangnya meletihkan. Tetapi syurga adalah tempat kita berehat selama-selamanya, dan ia ditawarkan kepada sesiapa saja yang inginkannya.

Mereka yang inginkan syurga ialah mereka yang menjadikan Allah sebagai tujuan hidup yang utama.

3 comments:

  1. Ya Allah...kami hambaMu yang sering lalai dan terlupa.. ampuni dosa kami ya Allah..
    Berpesan2lah kita dengan kebenaran dan kesabaran

    ReplyDelete
  2. Allah... kami hambaMu yg sering lupa dan lalai.. ampuni kami ya Allah.

    ReplyDelete
  3. Akak orang perlis ke? Hihi saya pernah tinggal di sana 7 tahun..akak dok area mana?

    ReplyDelete