12/05/2014

Isu Pendidikan: Pelajar Kita

Mengikuti perkembangan pendidikan negara kita, timbul sedikit kerisauan dalam jiwa saya. Risau melihat keadaan anak-anak muda yang begitu tenat mengikuti segala macam perubahan dalam sistem pendidikan kita hari ini. Tidak dilupakan juga kepada para guru dan ibu bapa. Masing-masing keletihan sehingga mempersoalkan di mana silapnya sistem pendidikan kita.

Selama pengamatan saya dengan sedikit bekalan pengalaman yang saya ada sebagai guru sandaran, saya perhatikan anak-anak muda kita sudah kehilangan semangat untuk belajar. Saya boleh katakan, mereka kehilangan arah tuju. Mungkin hanya sebahagian yang mengalaminya, tetapi yang sedikit ini mampu menjadi banyak jika kita hanya pandang sebelah mata dan tidak peka akan masalah yang semakin menjadi-jadi di belakang tabir, dan juga di tengah pentas.

Saya pernah ditugaskan untuk menjadi pengawas peperiksaan di sebuah sekolah. Apa yang saya dapat perhatikan ialah, para pelajar saling memandang antara satu sama lain; mengharapkan pertolongan daripada rakan sekelas untuk mendapatkan jawapan. Bukan seorang dua, saya boleh katakan 90 hingga 95 peratus daripada kelompok pelajar tersebut. Ini adalah kejadian yang agak pelik dan merungsingkan.

Timbul satu persoalan di minda saya, “Selama pengajaran dan pembelajaran berlangsung, apa yang mereka belajar sebenarnya?”

Semasa saya ditugaskan untuk menjaga peperiksaan Bahasa Arab, para pelajar kelas tersebut bertanyakan pelbagai soalan kepada saya.

Pelajar A : Cikgu cikgu…
Saya        : Ya. Kenapa?
Pelajar A : Betul tak jawapan saya ni?
Saya        : Takpa. Awak jawab apa yang awak tahu.
Pelajar B : Cikgu cikgu…
Saya        : Ya…
Pelajar B : Apa maksud ayat ni? Cikgu tahu tak jawapan soalan ni?

Daripada sekolah rendah sehinggalah universiti, secara jujurnya saya tidak pernah belajar Bahasa Arab kecuali semasa di tadika - tetapi tidaklah belajar dengan begitu mendalam. Saya hanya belajar nama-nama objek dalam Bahasa Arab. Itu pun saya sudah lama terkubur dalam minda saya.

Kepada pelajar-pelajar tersebut, sudah saya katakan bahawa saya tidak tahu mengenai Bahasa Arab apatah lagi asas-asas Bahasa Arab. Tetapi, mereka tidak lelah untuk bertanyakan kepada saya pelbagai soalan berkenaan Bahasa Arab, sedangkan mereka sudah sedia maklum bahawa latar belakang pendidikan saya bukanlah Bahasa Arab.

Tidak menghairankan sekiranya keputusan PISA dan TIMSS, Malaysia berada di carta yang ke bawah. Bagaimana kita mahu mempertingkatkan pemikiran kritis sekiranya soalan-soalan asas sesuatu subjek itu tidak dapat dikuasai oleh pelajar sendiri.

Apa sebenarnya yang terjadi kepada para pelajar pada hari ini?

Mengapa mereka tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan?

Saya teringat satu perbualan dengan seorang anak murid, “Cikgu, saya tak suka dengan PBS. Hari-hari kami kena jawab soalan, dan saya sendiri tak tahu apa yang saya belajar.”

Pada waktu itu PBS masih dijalankan sebelum diubah kepada PT3. Pelajar-pelajar Tingkatan Satu dan Dua, harus menyiapkan modul yang diberikan oleh para guru. Setiap modul mempunyai beberapa soalan. Pemarkahan modul ini berdasarkan band 1 sehingga band 6. Band 1 adalah markah yang terendah, diikuti dengan band 2, 3, 4, 5 sehingga band 6, iaitu markah yang tertinggi.

Sekiranya para pelajar tidak mencapai band yang sepatutnya dalam satu modul, maka mereka akan diminta untuk menyelesaikan modul tersebut sehingga mencapai band yang digariskan. Itulah matlamat idealnya.

Tetapi, realitinya sungguh jauh daripada ideal.

Saya perhatikan para guru lebih sibuk cuba untuk menghabiskan modul-modul yang belum selesai. Apa yang terjadi ialah para pelajar saling meniru jawapan antara satu sama lain. Mereka tidak peduli sama ada jawapan tersebut betul ataupun salah, asalkan kerja mereka siap.

Bukan satu subjek sahaja yang mereka perlu habiskan, malahan ada beberapa lagi subjek mereka perlu selesaikan secepat mungkin sebelum cuti sekolah tiba.

Maka timbul satu kenyataan di dalam diri saya, “Ini bukan pembelajaran yang sebenar. Mereka tidak belajar. Ini bakal merosakkan lagi masa hadapan mereka.”

 Bertambah kerisauan saya apabila mendengar tanggapan “normal” terhadap para pelajar kelas terakhir, iaitu mereka “malas dan tidak mahu belajar”. Telinga kita barangkali sudah biasa mendengar tanggapan ini. Perbetulkan saya sekiranya tanggapan ini tidak benar.

Apabila tanggapan ini selalu disebut-sebut dan ditanam dalam minda masyarakat, maka perkara ini menjadi satu kenyataan yang dibenarkan dan berleluasa sehingga ia menjadi satu perkara yang biasa kepada masyarakat.

Ada guru yang seharusnya mengajar kelas terakhir ini, membuat keputusan untuk tidak menghadirkan diri. Ini berlaku kerana beliau percaya yang pelajar-pelajar ini tidak mahu belajar dan mereka bukan otak akademik.
Saya akui apa yang diperkatakan oleh beliau ada betulnya kerana saya pernah ditugaskan untuk mengajar kelas tersebut dalam subjek Sains. Tetapi saya juga percaya, mereka ini generasi yang boleh berjaya pada masa hadapan. Cumanya apakah usaha kita untuk membantu mereka merealisasikan potensi yang terpendam itu?

Adakah kita terus menerus membiarkan kelas yang terakhir menjadi malas?

Adakah mereka ini tiada secebis peluang untuk membuktikan bahawa mereka mahu belajar sebenarnya?

Mungkinkah mereka menjadi sebegini disebabkan tanggapan kita terhadap mereka?

Mungkinkah kita sendiri yang sebenarnya membantut pembelajaran mereka dan menjadikan mereka “malas dan tidak mahu belajar”?

Mungkinkah kita sebagai guru belum cukup mengenali mereka?

Beberapa minggu yang lalu, saya diizinkan oleh Allah SWT untuk berjumpa dengan senior-senior saya. Salah seorang daripadanya merupakan seorang pensyarah di matrikulasi. Dalam perbualan kami, saya ajukan satu soalan kepada mereka, “Bagaimana dengan anak-anak murid sekarang?”

Jawapan yang diberikan cukup menambahkan lagi kerisauan dalam diri saya, “Mereka tak seperti kita dahulu. Anak-anak murid sekarang semakin malas. Soalan-soalan tutorial tidak disiapkan.”

Situasi pendidikan sekarang ini sudah tidak selari lagi dengan Falsafah Pendidikan Negara yang apabila ditulis dan dibaca, bunyi begitu gah sekali.

Apa-apa pun, artikel ini hanyalah pandangan peribadi hasil daripada pemerhatian dan pengalaman cetek saya semasa menjadi guru sandaran. Saya tidak salahkan para guru atau mana-mana pihak, kerana di setiap pihak ada cerita yang kita tidak ketahui.

Artikel ini ditulis dari perspektif para pelajar sahaja, dan bertujuan untuk menimbulkan persoalan-persoalan untuk difikirkan bersama.

7 comments:

  1. setiap pelajar ada potensi tersendiri
    adalah tidak adil sebenarnya kalau ada segelintir mengkategorikan pelajar pandai atau pelajar kurang pandai

    ReplyDelete
  2. I lived in the era where both PPSMI started and ended. I was introduced to it when I was in standard 2, if I'm not mistaken. The problem aroused bila dah masuk tingkatan 4 suddenly kena belajar balik dalam bahasa melayu. Bayangkan bertahun2 kami dah belajar in english, science math in english bila form4 kena tukar balik. Dan text book bio kimia fizik pun government dah republish balik in malay. A big problem, bagi student batch kami.

    Agak susah untuk kami membiasakan diri dgn penggunaan bahasa, istilah and so on. Ada antara kami yg tak faham apa yg diajar oleh guru dlm kelas. Sebab kami dah biasa dlm bi, so bila cg ajar bm, quite complicated.

    Even dalam exm, still ada yg susah untuk memahami perbezaan bahasa. Batch kami bukan hanya sekadar kena faham silibus ttp juga kena faham bahasa dan ingat segala istilah yg baru belajar. Kalau mengikut logik, takkanla tak faham bahasa melayu kot. Atau. Takkanla masih tak faham sampai exam? But yes, it did.

    At the end of the day, kami taktau apa yang kami belajar. Kami pening dgn sistem pembelajaran. Sampai ada kawan sy yg menganggap student batch kami ni sbg bahan eksperiment kerajaan.

    Quite complicated I'd say. And even time spm, still ada leakage. Unbelievable, aite? Ntah. Kami sendiri pun tak faham dgn government system.

    Maaf ni hanya pandangan saya sbg seorang pelajar. Correct me if I'm wrong :)

    ReplyDelete
  3. Jom boikot sekolah.. pakat2 x payah pi skolah. buang duit je. Abis skolah masih xtau apa yang dibelajar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya faham frustration anda. Tapi, lari daripada masalah tidak akan menyelesaikan masalah.

      Delete
  4. Salaam cikgu. Mohon izin untuk share.

    Wassalaam
    Haslinda AH
    S'pura

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Haslinda.
      Permohonan anda diluluskan =)

      Delete
  5. adik sy pun merungut dgn sy pasal pbs tu. sepupu sy pun merungut jugak. kata mereka, menyusahkan mereka..

    ReplyDelete