16/09/2012

Innocence of Muslims

Selepas gangnam style, muncul pula sebuah filem yang bertajuk 'Innocence of Muslims' yang melonjakkan lava kemarahan orang-orang Islam. Apatah lagi yang berkaitan dengan perjalanan hidup Kekasih Allah yang telah diputar belit daripada kebenaran.

Dari satu sudut, ia merupakan satu tanda yang bagus bahawa dalam diri kita masih ada sifat melindungi Rasulullah SAW apabila baginda difitnah. Dari sudut yang lain, apabila masa berlalu, manusia kembali dengan keselesaan hidup.

Lihat saja sejarah kita yang lalu. Negara barat melukis muka Rasulullah SAW. Kita marah. Filem Fitna dikeluarkan. Kita marah. Sekarang, sejarah berulang sekali lagi. Kita marah.

Apa pembaharuan yang telah kita lakukan dari dahulu hingga sekarang?

Orang yang membikin filem satu hal. Orang yang menonton pula satu. Penonton pula boleh jadi orang yang tidak ada ilmu pengetahuan langsung mengenai Islam. Contoh ana berikan, semasa ana dan sahabat-sahabat mengembara ke suatu tempat. Kami  berhenti berehat sekejap untuk solat. Masa itu, ana sedang uzur, jadi ana hanya menjaga sahabat-sahabat yang sedang solat. Pada masa itu, ana lihat ada sepasang suami isteri begitu khusyuk melihat sahabat-sahabat ana solat daripada mula sehingga habis. Ana perasaan akan rasa kekok dalam diri mereka melihat perkara baru seperti ini.

Jadi apa kaitan dengan filem ini dengan penonton yang tidak tahu apa-apa?

Filem itu menggambarkan bagaimana aklak penganut Islam dan kita pula marah kerana isi yang ditayangkan filem itu fitnah dan tidak benar. Kita bangkit dan melakukan demonstrasi untuk mengharamkan filem tersebut tanpa memberi feedback kembali kebenaran yang sebenar. Penonton-penonton tersebut pasti merasakan orang yang membikin filem ini adalah orang yang betul ditambahkan pula dengan akhlak yang kita tunjukkan kepada dunia.

Perkembangan kanak-kanak bergantung dengan apa yang dia lihat disekelilingnya. Inikan pula manusia yang tidak mengenali Islam tetapi mengenali Islam melalui akhlak kita.

Dalam facebook pula banyak pula yang mendoakan agar mereka yang membikin filem ini akan menerima balasan daripada Allah SWT. Tetapi ada satu yang kita lupa. Kita lupa untuk mendoakan moga Allah mengampuni dosa-dosa kita. Disebabkan dosa-dosa ini, kita gagal menunjukkan kepada dunia akan keindahan Islam sebenar. Disebabkan keselesaan dan kelalaian kita, maka inilah yang terjadi pada hari ini.

Musuh Allah melakukan kerja dengan begitu tersusun dan teliti tanpa penangguhan. Bagaimana pula dengan kita? Jangan kita terlalu disibukkan dengan kertas kerja mereka manakala kertas kerja kita belum dijalankan.

Moga kita semua mampu mencontohi akhlak Rasulullah SAW. Orangnya yang begitu pemaaf, kasih sayang dan penuh dengan strategi dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Sejarah mungkin akan berulang.

Mungkin perkara  yang sama akan berlaku atau sesuatu yang luar biasa akan berlaku?

Semuanya ditangan kita.

No comments

Post a Comment