18/04/2012

Apabila Kekuatannya Bangkit, Maka Tiada Siapa Mampu Menjatuhkannya

Assalamualaikum....

Beberapa hari yang lalu, ana ada post yang bertajuk " Ketakutan Yang Menembusi Hati Manusia" iaitu di mana orang-orang mukmin diuji oleh Allah dalam Perang Al-Ahzab.

Ingat lagi dengan kaum Yahudi Bani Quraizah?

Mereka telah mengikat janji dan berikrar untuk menolong Rasulullah SAW jika diserang oleh musuh. Sebaliknya apa yang berlaku ialah mereka tidak memegang kepada janji tersebut. Semua ini berlaku kerana mereka termakan janji-janji yang ditaburkan oleh Banu Nadhir.

Ianya bermula apabila kaum Quraisy dan kabilah Ghatafan bertolak ke utara Madinah disebabkan bahagian selatan Madinah penuh dengan pohon-pohon dan tanam-tanaman. Rasulullah SAW telah pun membuat jangkaan bahawa sekumpulan musuh ini akan membuat serangan daripada utara Madinah.

Namun itu adalah atas sense dan ilmu yang ada pada diri Rasulullah SAW sendiri kerana baginda begitu arif dengan geografi Madinah.

Siapa sangka, rupa-rupanya ada sekumpulan Yahudi iaitu Banu Al-Nadhir yang begitu teliti perancangannya menyelinap masuk kawasan Madinah daripada Selatan. Mereka bukan saja-saja pergi untuk berperang. Tetapi mereka membawa misi yang sangat penting iaitu menghasut Banu Quraizah supaya melanggar janji yang telah ditemeteraikan bersama-sama dengan Rasullah SAW.

Ketua Yahudi Banu Quraizah pada masa itu dipimpin oleh Ka'ab bin Asad al-Qarzi. Hasutan Banu Al-Nadhir diserahkan kepada Huyai bin Ahtob. Pada mulanya Ka'ab menolak keras dengan tawaran Huyai. Huyai pula bukan orang yang mudah berputus asa. Dia terus menerus melakukan serangan memujuk kepada Ka'ab sehingga Ka'ab sendiri termakan pujukkan tersebut.

Jadi golongan Yahudi ini melakukan serang daripada selatan tanpa kesedaran daripada Rasulullah SAW dan tentera-tentera muslimin yang lain. Serangan Banu Quraizah ini hanya disedari oleh Sofiah binti Abdul Mutalib yang merupakan emak saudara Nabi Muhammad SAW. Dia melihat seorang Yahudi sedang mengetuk-ngetuk dinding kubu yang ketika itu dia berada bersama-sama kaum wanita, kanak-kanak dan seorang lelaki yang bernama Hassan bin Thabit.

Sofiah tahu, sekiranya dibiarkan Yahudi terus mengetuk dinding kubu itu, maka golongan Yahudi yang selebihnya akan mengetahui bahawa dalam kubu itu tiada siapa-siapa kecuali kaum wanita dan kanak-kanak. Ini memberi peluang kepada Yahudi untuk menakhluk Madinah dengan begitu mudah.

Sofiah pergi melapor kepada Hassan keadaan tersebut dan meminta Hassan pergi membunuh Yahudi tersebut. Namun Hassan memberitahu Sofiah bahawa dia tidak mampu berlawan dengan Yahudi tersebut.

Sofiah tanpa membuang masa, terus pergi menyerang Yahudi tersebut dengan menggunakan tongkat. Habis dia belasahkan Yahudi tersebut sehingga mati. Tindakan Sofiah ini memberi impak yang besar kepada golongan Yahudi. Mendengar kematian daripada kalangan mereka sendiri membuat mereka terfikir bahawa kubu-kubu tersebut dijaga rapi oleh tentera-tentera Islam. Banu Quraizah mula berundur diri.

Kalau diikut logik akal, mana mungkin seorang wanita mampu berlawan dengan seorang lelaki yang gagah malahan tenaganya lebih kuat. Jadi persoalannya, dari mana datangnya kekuatan itu?

Manusia lupa bahawa dia sebenarnya lemah. Lemahnya bukan sedikit tetapi banyak jika nikmat Allah itu  tidak dicampakkan kepada manusia. Kadang-kadang manusia lupa untuk bersyukur. Kadang-kadang manusia lupa kepada siapa dia harus bergantung. Dan manusia juga lupa pada siapa yang harus dia meminta.

Ana percaya, kekuatan yang diperoleh oleh mak saudara Nabi Muhammad SAW bukan kekuatan yang datang daripada dalam dirinya. Bahkan itu semua datang daripada Allah SWT yang mempunyai kuasa untuk mencampakkan perasaan takut, sedih, lapar dan pelbagai lagi.

Dan bukan saja Sofiah diberi kekuatan malahan dia sendiri bergantung kepada Allah SWT. Pergantungan kepada Allah SWT ataupun tawakkal mampu memberi suatu kuasa kepada manusia untuk terus bergerak dan mampu mengubah hidup manusia.

Hasil perbuatan Sofiah itu mampu menyinari kembali Madinah daripada dijajah oleh Yahudi. Bukan itu saja, dia telah melindungi kanak-kanak dan juga wanita-wanita. Walaupun nampak hal kecil tetapi ia memberi impak yan besar kepada ummah.

Ana cukup kagum dengan muslimah yang merupakan heroin kepada ummah. Lihat saja pada diri Sofiah, tiada lelaki di sisinya kecuali Hassan. Mula-mula dia meminta kepada Hassan supaya membunuh Yahudi tersebut tetapi Hassan tiada kemampuan.

Jadi pada siapa lagi Sofiah harus meminta pertolongan?

Jawapannya Allah. Manusia itu kadang-kadang terlalu bergantung dengan sesama manusia. Sehingga pada satu tahap di mana manusia sendiri tidak mampu menolongnya, dia mula hilang arah tuju. Mula rasa gelisah dan tidak tahu apa yang harus dia lakukan.

Subhanallah, sangat besar akan perkataan tawakkal itu. Tawakkal yang sebenar-benarnya itu hanyalah kepada Allah yang diperlukan oleh setiap manusia.

Masih ingatkah anda dengan cerita-cerita nasib wanita di Syria. Ada tenteranya cuba merogol wanita-wanita ini. Namun tentera tersebut tidak dapat melakukannya kerana hasil daripada kekuatan mereka dalam mempertahankan maruah wanita sehingga mereka lebih rela mati daripada maruah mereka tercalar.

Dari manakah datangnya kekuatan itu?

Allah.

Contohnya lagi, seorang wanita yang bernama Zainab Al-Ghazali. Dia dipenjarakan di Mesir hanya semata-mata wanita ini cuba mempertahankan syahadah. Dia bukan saja diseksa teruk dipenjara malah dia juga menerima berita bahawa suaminya telah meninggalkannya. Ana boleh rasakan, bukan setakat fizikalnya diganggu bahkan juga mentalnya. Kalau ana ditempatnya mungkin ana boleh jadi manusia yang tidak betul lagi kerana menerima penderaan yang tidak pernah berhenti.

Persoalannya, bagaimana Zainab Al-Ghazali masih terus hidup dalam keadaan yang tenang dan masih berpegang teguh dengan syahadah?

Semuanya hasil daripada keimanan dan bergantungannya kepada Allah SWT. Subhannallah. Sebenarnya wanita itu sangat hebat. Apabila kehebatannya terserlah maka tiada siapa yang mampu menjatuhkannya dan ada kalanya kekuatannya melebihi kekuatan lelaki dengan izin Allah.

Seperti Siti Hajar yang berlari antara bukit Safar dan Marwah. Ana akui semasa ana lakukan sa'ie, kaki hingga ke pinggang, ana rasa sakit yang teramat. Ana tidak boleh menggambarkan bagaimana pula dengan situasi Hajar. Subhannallah kuat sungguh dirinya dan tabah apabila ditinggalkan oleh suami atas perintah Allah SWT.

Wanita, jangan biarkan pergantunganmu kepada manusia sebaliknya bergantunglah kepada Allah SWT. Yakinlah kepada Dia. Allah itu tidak pernah berkeinginan kejahatan berlaku dalam diri kita. Allah itu, kalau boleh ingin memberi kebaikan. Cumanya kita yang merosakkan kebaikan tersebut.

Kekuatan muslimah yang ana sebutkan tadi semuanya datang daripada hubungan mereka yang erat dengan Allah SWT. Muhasabah kembali. Bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT? Adakah kita benar-benar menjalani hidup ini sebagai hamba Allah SWT atas syahadah yang kita sebutkan pada setiap hari?

Bila kekuatan itu datang maka awas, tiada siapa mampu menjatuhkan muslimah dengan syarat keimanan dan kebergantungannya kepada Allah SWT.

GO GO MUSLIMAH!
DON'T LET YOU DOWN!
ALLAH IS ALWAYS BE WITH YOU!

[ Macam cheerleader la pulak =)]

No comments

Post a Comment