19/04/2012

Anugerah Yang Selalu Manusia Lupa

[Kredit]


Bismillahirrahmanirrahim

Minggu ini ana jarang update blog disebabkan masa ana dicuri untuk beriadah atau bermain-main dengan seorang sahabat ana pada waktu petang. Mata ini selalu sangat mengadap laptop dan diri ini juga selalu berkurung di dalam bilik sehingga terlupa untuk menunaikan hak badan sendiri.

Belajar belajar juga tapi jangan lupa untuk beriadah. Badan tidak sihat, kekadang berpunca daripada stamina badan kita yang lemah. Jadi kena jaga kesihatan melalui senaman, jogging, kayuh basikal dan pelbagai lagi. =)

Okay. Back to the topic.

Ana selalu membaca Al-Quran selepas menunaikan solat. Baca bukan sekadar lafaz arabnya tetapi juga membaca maksud ayat tersebut. Ada suatu ayat, yang begitu menyentak hati ana.

" Dan kalau bukan kerana karunia Allah dan rahmat-Nya kepadamu (Muhammad), tentulah segolongan dari mereka berkeinginan keras untuk menyesatmu. Tetapi mereka hanya menyesatkan dirinya sendiri, dan tidak membahayakanmu sedikit pun. Dan (juga kerana) Allah telah menurunkan Kitab (Al-Quran) dan Hikmah (Sunnah) kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum engkau ketahui. Karunia Allah yang dilimpahkan kepadamu itu SANGAT BESAR." [ An-Nisa': 113 ]

Masa zaman kanak-kanak dulu, ana sangat liat untuk pergi mengaji Al-Quran. Selalunya kelas ini dibuat pada waktu pagi. Bertambah malas la jadinya. Biasa la orang muda suka tidur selepas Subuh. Tak gitu? [ Kalau tak betul, maknanya ana sorang ja la yang suka tidur lepas Subuh].

Ana pula tiada berkeinginan langsung untuk mengenali Al-Quran. Ana hanya mengenali Al-Quran pada waktu membaca dihadapan ustazah. Selepas habis membaca, maka Al-Quran diletakkan di tepi dan seolah-olah ana tidak mengenali Al-Quran tersebut.

Demikian juga pada waktu remaja. Baca hanya memenuhi ruang masa. Kemudian diletakkan Kitab tersebut ditempat yang tinggi. Bila tidur sorang-sorang, Al-Quran diletakkan di tepi katil untuk protection daripada makhluk bernama 'H'. Biasa la, time tu memang suka tengok filem-filem makluk 'H' ini. =)

Dan tidak menafikan, ana orang yang jenis suka melihat apa yang dibuat oleh orang sekeliling. Di sekolah pula, selalu ada penjual yang menjual ayat seribu dinar yang diperkatakan oleh orang ramai bahawa ayat ini mampu mengubah hidup manusia.

Alhamdulillah, Allah masih memelihara ana daripada mempercayai kepercayaan karut ini. Ana jenis orang yang selagi perkara itu kabur-kabur dan tiada bukti yang sahih maka ana akan tinggalkannya.

Selama ana hidup di muka bumi ini selama 19 tahun, hidup ana terkontang-kanting. Ana mencari apa sebenarnya itu Islam. Bagi ana yang hidup selama 19 tahun, ana masih belum jelas apa yang dimaksudkan dengan Islam dan apa keperluan yang perlu ana penuhi dalam hidup ini.

Yang jelasnya, apa yang ana nampak dalam masyarakat kita ialah, baca Al-Quran kemudian khatam dan the end. Tiada progress untuk membaca semula dan untuk lebih mengetahui dengan isi-isi ayat-ayat Al-Quran. Ini apa yang ana nampak especially cara ibu bapa medidik anak-anak. Sebilangan daripada mereka sekadar menyerahkan tugas tersebut kepada ustaz ataupun ustazah. Bila anak dah besar sikit, penjagaan anak-anak terhadap pendekatan Al-Quran semakin longgar dan mulalah anak-anak hilang guidance.

Al-Quran pula dijadikan perhiasan di atas meja.

Namun, ana tidak boleh menyalahkan ibu bapa. Boleh jadi mereka juga tidak tahu apa yang sebenarnya yang sepatutnya diisikan kepada anak-anak. Dan kita sebagai anak perlu sensitif dengan keadaan environment atau cara hidup mereka pada masa lalu. Jangan jatuhkan kesalahan atas diri mereka kerana mereka sendiri 'tidak tahu'.

Alhamdulillah. Atas kasih sayang Allah kepada ana, Dia memberi peluang kepada ana untuk mengenali Islam di bumi orang asing iaitu Uk.

Di sini ana banyak mengikuti halaqah, program-program dan talk daripada orang-orang yang terkenal akan kewibawaannya dalam Islam.

 Semakin lama semakin ana nampak apa itu Islam. Dari hari ke hari ana nampak kenapa Allah mengatakan Al-Quran itu satu kurniaan yang sangat besar daripada-Nya.

Cuba imbas kembali akan kehidupan penduduk tanah Arab sebelum kelahiran Nabi dan selepas kelahiran Nabi. Mereka hidup dalam keadaan yang sangat tidak terurus. Wanita-wanita dijadikan alat permainan. Anak perempuan ditanam hidup-hidup. Golongan kaya menindas golongan miskin.

Setelah Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai Rasul, kehidupan bangsa Arab mula berubah walaupun masih ada golongan yang masih ingkar dan tidak ikut risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Generasi para sahabat Rasulullah SAW, mereka adalah golongan yang hebat kerana Al-Quran dijadikan panduan hidup mereka bukan sekadar dibaca. Al-Quran bukan hanya teori bagi mereka, tetapi mereka menjelmakan ia dalam bentuk praktikal. Umar Al-Khattab dengan tegasnya mengatakan bahawa dia tidak akan pergi ayat seterusnya jika dia belum memahami ayat ini dan tidak mempraktikkan lagi.

Itulah kehebatan generasi zaman Rasulullah SAW. Mereka sangat menghargai Al-Quran sehingga mahu mengkaji ayat-ayat Al-Quran walaupun ia mengambil masa yang lama.

Kenapa golongan ini sanggup mengkaji ayat-Al-Quran?

Kerana mereka tahu di situ, akan terjawab persoalan tentang akidah, akan terjawab soalan tentang kepercayaan dan akan terjawab persoalan hakikat kehidupan yang sebenar. Dan kepercayaan mereka kepada Allah semakin kuat.

Impaknya sangat besar sehingga pemikiran sahabat tentang dunia berubah seratus peratus. Apa yang mereka kerjakan di dunia hanya semata-mata untuk akhirat. Seperti Abdul Rahman bin Auf yang kaya dengan harta hasil daripada perniagaannya.

Abdul Rahman bin Auf tidak memandang harta itu adalah miliknya sebaliknya dia memberi sebahagian besar daripada hartanya kepada orang lain. Kenapa timbul sifat sebegini? Kalau ikutkan, lebih baik simpan harta tersebut dan dapat pula menjamin kehidupan beliau dan juga keluarga.

Kerana beliau tahu, hidup ini hanya sementara manakala akhirat adalah ketetapan yang hakiki. Apa yang dia inginkan ialah mengejar syurga.

Bagaimana pula dengan kita?

Kita tahu Allah yang mencipta kita tetapi pernah tak kita terfikir, apa yang Allah mahu kita lakukan di dunia ini?

Apa yang sebenarnya tugas kita yang diberikan oleh Allah?

Adakah saja-saja Allah mencipta manusia?

Selama ini adakah benar kehidupan kita sekadar ikut flow orang-orang atas?

Mereka belajar kita belajar. Mereka kahwin, kita pun kahwin. Mereka masuk universiti, kita pun masuk universiti.

Adakah ini jalan yang kita ikuti selama ini?

Bagaimana Allah hendak memberitahu manusia apa sebenarnya tujuan dia di bumi ini?

Mana mungkin Allah meminta malaikat menjelaskan kepada manusia. Boleh pengsan kita. =)

Allah menggunakan alternatif di mana seluruh manusia boleh memilikinya iaitu Al-Quran.

Al-Quran bukan untuk perhiasan di rumah. Bukan sekadar kecantikkan untuk hantaran kahwin =)

Al-Quran itu adalah amanah yang diberikan oleh Allah kepada manusia untuk mencari kebenaran dalam menyusuri sebuah kehidupan.

Ingat lagi pesanan Rasulullah SAW sebelum kewafatan baginda. Dia telah mewasiatkan kepada umatnya untuk berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah supaya manusia tidak sesat.

Dulu ana tahu je wasiat ni. Tapi tak ambil kisah sangat sebab rasanya belajar lebih penting pada waktu itu. Lagipun hafal Al-Quran ini diberikan kepada yang pakar iaitu hafiz dan hafizah. Tidak pun kepada ustaz ataupun ustazah. [ pemikiran kanak-kanak pada masa itu =)]

Bila fikir balik, tidak ada pula dalam wasiat baginda memberi pengkhususan kepada siapa yang harus berpegang teguh dengan Al-Quran mahupun As-Sunnah. Maknanya, ana dan anda juga perlu menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai satu pegangan dalam menjalani kehidupan ini.

Bukannya menyerahkan tugas kepada yang pakar.

Apabila kita tahu nikmatnya Al-Quran ini, kita mula akan bersyukur kepada Allah. Atas kasih sayang-Nya Dia memelihara Al-Quran daripada diubahsuai supaya manusia tidak tersesat dalam perjalanan dunia.

Kasih Allah cukup besar.

" Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa." [Al-Baqarah: 2]

P/S: Entri kali ini terpanjang pula. Ana cuma nak beritahu, bagi sesiapa yang hantar email kepada ana, jangan takut kalau muncul nama adam eyyad. Nama ini ana ambil daripada sebuah buku. Pemilik blog ini ialah seorang perempuan Insya-Allah. Sebarang email, Insya-Allah ana layan je. =)

No comments

Post a Comment