23/04/2012

Anggota Diikat, Nafsu dan Iman Berperang

[Kredit]


[ Ukhti N] : NA bangun...solat Subuh. Nanti lambat.

[Ukhti NA] : Ermmmm....Sambil duvet ditarik hingga ke kepala. Zzzzz....


Lima 5 minit kemudian...

[Ukhti U] : NA bangun...solat Subuh...

[Ukhti NA] : Ermmmmmm.....Jawapan yang sama diberi.  -.-


-Tamat-


Inilah yang selalu berlaku pada diri ana pada kebelakangan ini. Tambahan pula waktu Subuh makin awal iaitu pukul 4.05 pagi.

Ia agak mencabar kepada ana untuk bangun pada seawal jam tersebut. Pada masa ini, dengan suasana yang sejuk, bertambah pula anggota badan kita berasa selesa berada di dalam duvet. Kalau boleh jangan ada sesiapa yang berani cuba untuk mengacau time yang begitu selesa sekali.

Namun, kewajipan yang telah dilistkan oleh Allah, nak tak nak kena bangun juga walaupun mata ini berat untuk buka.

Peperangan semasa bangun untuk Subuh sangat hebat sekali. Bayangkan housemate ana, kejutkan ana. Kemudian ana hanya bagi respond ermmmmm. Housemates ana yang lain sedang setia menunggu di lounge untuk solat berjemaah.

Kalau ikutkan perasaan, ana sangat tidak suka membuat orang lain menunggu kedatangan ana untuk solat bersama. Ana rasa kesian sebab mereka tunggu ana dalam keadaan mengantuk yang teramat.

Namun, perasaan kesian itu berlaku hanya di bawah kesedaran. Perasaan ini tidak timbul semasa ana dalam keadaan tidur yang selesa.

Kenapa?

Sebab berlaku peperangan dalam diri ana dengan nafsu dan syaitan. Nafsu kata, tidurlah. Best owh...tidur masa ini. Syaitan pula mengikat anggota badan ana daripada terus bergerak meninggalkan katil.

Pada masa ini, ana minta pertolongan Allah,

" Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada hamba-Mu ini untuk bangun menunaikan solat Subuh. Tolonglah aku ya Allah. Ringankan badanku ini."

Ana berada dalam kelemasan. Kelemasan antara perang nafsu dan perang iman. Hati ana tidak henti-henti meminta pertolongan Allah sehingga...jeng jeng jeng...akhirnya ana berjaya bangun juga walaupun agak lambat. Duvet tu, ana rasa dah macam batu dah. Susah nak tolak ke tepi. =)

Dahulu, pada masa muda, selalu menunaikan solat Subuh pada akhir-akhir waktu. Orang kata solat gajah. Kekadang penting juga untuk kita ada supplement buat diri kita. Kenapa aku mesti bangun Subuh diawal pagi dan apa yang aku akan dapat?

Manusia itu, ada masanya perlu sebab yang kukuh kenapa dia harus berbuat yang demikian? Dan apa ganjaran yang dia akan dapat?

Seperti pelajar. Cikgu telah menjanjikan kepada mereka bahawa jika sesiapa dapat full mark dia akan dapat 10 ringgit. Itu membuat pelajar-pelajar tersebut untuk memotivasikan diri untuk belajar dan cuba untuk mendapatkan markah penuh.

Ia sememangnya fitrah manusia. Suka membuat pekerjaan tersebut apabila dijanjikan mendapat ganjaran.

Jadi apa ganjaran kepada orang yang bangun Subuh ini?

Pada waktu Fajar, bukan saja berlaku pembagian rezeki malahan itu menunjukkan iman kita kuat. Bukankah ini yang patut kita rasa gembira. Ini menunjukkan Allah masih pelihara kita dan masih menyayangi diri kita. Dan yang penting iman kita masih bernafas dengan baik.

Dan yang paling utama ialah apabila kita bangun Subuh maka kita suci daripada kemunafikan. Siapa tidak bangun Subuh itu, faham-faham je la.

Betul ke Ukhti NA ni?

Rasulullah SAW bersabda,"Solat yang paling berat pelaksanaannya bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Andai mereka tahu kebaikan pada keduanya, tentu mereka mengerjakannya kendati dengan merangkak." [ Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Pergh!!! Bila baca hadith ini, terus ana berazam, walaupun orang lain tidak tahu sama ada aku bangun Subuh atau tidak, munafik atau tidak, Allah tetap memerhatikan ana dan ana tidak mahu menjadi munafik di mata Alllah.

Siapa yang mahu jadi munafik sila angkat tangan!

Ana yakin kita, tiada siapa pun yang mahu menjadi munafik. Sebaliknya apa yang kita mahu ialah menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Keistimewaan solat Subuh itu sendiri apabila disaksikan sendiri oleh para malaikat.

Rasulullah SAW bersabda," Malaikat yang bertugas malam dan malaikat yang bertugas siang pergi secara bergantian kepada kalian. Mereka bertemu saat solat Subuh dan solat Asar. Malaikat yang bertugas malam naik, lalu ditanya oleh Allah, padahal Dia lebih tahu daripada mereka,' Bagaimana kalian meninggalkan hamba-hamba-Ku?' Para malaikat yang bertugas malam menjawab,' Kami tinggalkan mereka sedang mengerjakan solat dan datang lagi kepada mereka saat mereka mengerjakan solat." [ Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Kalau ikutkan, tidak perlu rasanya Allah bertanya kepada malaikat, apa yang kita lakukan semasa malaikat memerhatikan kita. Kerana Allah lebih tahu, lebih teliti dan lebih mendalam pengetahuan-Nya.

Ini merupakan satu hadiah kepada orang yang bangun pada waktu Subuh dan tunaikan solat Subuh apabila disaksikan sendiri oleh para malaikat. Malaikat melihat kita sedang melakukan perkara yang yang disukai Allah. Malaikat melihat ketaatan kita kepada Allah. Dan mungkinkah berita ketaatan kita tersebar ke langit seperti Uwais Al-Qarni? Siapa tahukan...=)

Rasulullah SAW bersabda," Siapa mengerjakan solat solat Subuh dan solat Asar, ia masuk syurga." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Apa lagi alasan kita untuk tidak bangun Subuh? Bukankah telah banyak ganjaran yang Allah offerkan kepada manusia.

Tidakkah kita rasa mahu untuk mengejar semua ini?

Pembersihan daripada munafik kita dapat. Malaikat menjadi saksi atas solat kita, kita dapat. Syurga juga dijanjikan.  Rezeki yang diturunkan oleh Allah kita dapat.

Sungguh, banyak nikmat yang Allah limpahkan kepada manusia yang taat di Subuh hari. Selepas ini, jangan liat lagi nak bangun solat Subuh. =)

Ana faham, secara teori nampak senang, tetapi realitinya agak susah. Jadi mohonlah pertolongan dan kekuatan daripada Allah.

Sebelum tidur ana selalu berdoa,

" Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk bangun pada waktu Subuh. Subuh yang mempunyai banyak kenikmatannya. Ringankanlah anggotaku untuk menunaikan kejiwapan solat Subuh."

Jangan lupa untuk istighfar kerana kita tak lepas dari berbuat dosa. Kekadang dosa kita ini menghalangi kita daripada untuk melakukan kebaikan. Kemudian, pasang niat untuk bangun diawal pagi. Insya-Allah, Allah akan bantu kita.Yakin kepada Allah dan bersangka baiklah kepada Allah. Insya-Allah semua urusan kita akan dipermudahkan.

Ayuh! Kejar Solat Subuh!

No comments

Post a Comment